My Add

Monday, 24 March 2014

Perdana Menteri tampil bela Daim

KUALA LUMPUR, SABTU, 22 Mac, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini tampil membela Tun Daim Zainuddin yang ditohmah oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menurut Perdana Menteri tidak sepatutnya dilakukan terhadap bekas Menteri Kewangan itu yang banyak menyumbang bakti kepada negara.

Tegas Perdana Menteri, serangan dan tuduhan yang mengaibkan pemimpin lama mencerminkan pakatan pembangkang tidak menghormati mereka yang berbakti kepada negara selama ini.

"Kita juga kesal kerana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang ini juga menjadi medan pemimpin parti pembangkang untuk mencemar bekas pemimpin negara yang telah lama bersara dari politik.

"Ini termasuklah serangan ke atas Tun Daim Zainuddin yang telah banyak menyumbang bakti

kepada negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan Perdana Menteri itu merujuk kepada tohmahan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadikan Daim sebagai sasaran terbaharunya setelah menyerang ramai pemimpin dan tokoh UMNO sebelum ini.

Dalam ceramah Anwar semasa berkempen pada PRK DUN Kajang baru-baru ini, beliau melakukan tohmahan ke atas Daim dengan menuduh bekas Menteri Kewangan itu mempunyai wang berbilion-bilion dalam bank di Afrika dan Eropah Timur.

Sebelum ini pun dalam beberapa siri ceramah Anwar di beberapa negeri, beliau melemparkan tuduhan serupa ke atas Daim.

Tindak-tanduk beliau itu dipercayai ada kaitan dengan ucapan Daim yang tidak menyebelahi pakatan pembangkang termasuk menyifatkan Penasihat PKR itu sebagai pelakon hebat yang bijak mengaburi mata penonton.

Berikutan itu Khamis lalu, Daim menjawab serangan Anwar itu dengan menegaskan, beliau tidak berminat melayan tohmahan ketua pembangkang itu terhadapnya kerana segala tuduhan itu jelas beliau, cuma memperlihatkan kejahilan Anwar dalam aspek perbankan.

"Tohmahan-tohmahan itu hanya menunjukkan beliau tidak tahu mengenai dasar-dasar perbankan dan beliau akan menjadi bahan ketawa. Tolong jangan tunjukkan kejahilan anda. Sekiranya ini adalah salah satu bahan gurauan di dalam ceramahnya, objektif beliau untuk menjadi seorang penghibur sudah tercapai," antara penjelasan Daim.

Ketika krisis ekonomi 1997, Daim yang ketika itu Menteri Kewangan berjaya menyelamatkan Malaysia keluar daripada kemelut global itu bersama Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Malah, Daim diakui sendiri oleh Dr. Mahathir sebagai arkitek ekonomi hebat dan banyak berjasa kepada kemajuan Malaysia. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment