![]() |
* SEKUMPULAN penduduk Thailand mengadakan demonstrasi membantah keputusan mahkamah membatalkan pilihan raya umum pada 2 Februari lalu, di Bangkok, Thailand semalam. - REUTERS |
Barisan hakim memutuskan pilihan raya umum itu pada 2 Februari lalu melanggar Perlembagaan kerana proses pengundian tidak diadakan pada hari yang sama di 28 kawasan pilihan raya, selepas proses pendaftaran calon dihalang oleh penunjuk perasaan antikerajaan.
"Pilihan raya baharu perlu diadakan," kata Setiausaha Agung mahkamah tersebut, Pimol Thampitakpong pada satu sidang media.
Bagaimanapun tarikh pilihan raya umum baharu tidak dinyatakan.
Kebiasaannya, tarikh pilihan raya ditetapkan oleh kerajaan selepas berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya.
Keputusan mahkamah itu dilihat tidak akan mempengaruhi krisis politik di negara ini yang tercetus sejak hujung tahun lepas apabila penunjuk perasaan antikerajaan menggesa pentadbiran Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra digantikan dengan sebuah majlis yang dilantik rakyat untuk melaksanakan pembaharuan.
Yingluck, bagaimanapun tidak tunduk pada tuntutan itu dan enggan berundur, sebaliknya mengumumkan pilihan raya umum lebih awal dalam usaha mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
Bagaimanapun, penunjuk perasaan cuba menghalang pilihan raya itu dengan mengadakan tunjuk perasaan dan menakutkan-nakutkan bakal calon serta pengundi.
Tindakan penunjuk perasan tersebut menyebabkan proses pengundian tidak boleh diadakan pada hari yang sama.
Pada masa sama, parti pembangkang Parti Demokrat memulau pilihan raya umum tersebut.
Ekoran proses pengundian tidak dilengkapkan, tiada keputusan diumumkan walaupun di kawasan-kawasan yang tidak menghadapi sebarang masalah.
Walaupun pilihan raya baharu akan diadakan, Yingluck bakal berdepan beberapa tindakan undang-undang yang mungkin memaksa beliau berundur daripada arena politik negara ini. - AGENSI/UTUSAN

No comments:
Post a Comment