My Add

Saturday, 1 March 2014

PM saksikan perjanjian dengan Bangsamoro

PUTRAJAYA, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Komprehensif Mengenai Bangsamoro melibatkan kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang akan diadakan di Manila hujung Mac ini.

Sambil menyifatkannya amat bersejarah, Najib berkata, perjanjian tersebut merupakan satu era baharu khususnya berkaitan dengan soal keselamatan di selatan Filipina.

Malah, beliau dalam sidang akhbar bersama dengan Presiden Filipina, Benigno S. Aquino III di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini berkata, perjanjian itu juga turut memberi manfaat secara langsung kepada Malaysia.

"Saya ucapkan tahniah kepada Presiden Aquino atas perjanjian yang akan ditandatangani pada hujung Mac ini. Presiden Aquino telah menjemput saya dan saya akan menghadiri majlis yang cukup bersejarah ini.

"Malaysia sentiasa menyokong dan memainkan peranan dalam usaha perdamaian ini khususnya peranan kita sebagai fasilitator," katanya lagi.

Sebelum itu, kedua-dua pemimpin telah mengadakan pertemuan lebih sejam bagi membincangkan isu-isu dua hala selain meninjau peluang untuk mempertingkatkan lagi kerjasama dua hala antara Malaysia dan Filipina sempena lawatan Aquino ke Malaysia.

Ini merupakan lawatan sulung Aquino ke Malaysia selepas dilantik sebagai Presiden negara tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, Malaysia juga akan mengukuhkan lagi kekuatan dalam proses berkenaan dengan menawarkan pembangunan kapasiti bagi penduduk Bangsamoro.

"Ini memandangkan mereka akan menjadi sebahagian daripada kerajaan akan datang di selatan Filipina, oleh itu mereka perlu memiliki kemahiran baharu," katanya.

Sementara itu, Aquino dalam reaksinya berhubung dengan pemeteraian perjanjian tersebut berkata, Manila menghargai dan berterima kasih atas usaha Malaysia yang berperanan sebagai orang tengah dalam proses perdamaian antara Filipina dan MILF.

Ujarnya, kejayaan itu menyimpulkan bahawa usaha perdamaian di Mindanao adalah satu jalan terbaik untuk mengukuhkan asas keamanan dan keadilan antara kedua-dua pihak.

Pada Oktober 2012, Manila dan MILF memeterai Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro yang berjaya menamatkan konflik 40 tahun dan perjanjian tersebut juga telah disaksikan oleh Najib dan Aquino. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment