RM133j naik taraf Lapangan Terbang Mukah dilulus
MUKAH, SABTU, 2014: 15 Mac - Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM133 juta bagi menjalankan kerja-kerja menaik taraf Lapangan Terbang Mukah di sini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, projek pembangunan itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat sebaik sahaja kementerian tersebut melantik kontraktor.
Katanya, peruntukan itu bagi membangunkan kawasan tanah lapangan terbang tersebut selain meningkatkan kemudahan seperti pengangkutan awam.
"Kita menjangkakan apabila projek menaik taraf lapangan terbang ini siap, aktiviti pembangunan di kawasan Mukah akan berubah menjadi semakin rancak.
"Ini adalah usaha Kerajaan Pusat untuk membangunkan Mukah yang bakal menjadi pusat Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE)," katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian di Dewan Suarah Mukah di sini hari ini.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, kerajaan menyedari tentang keperluan meningkatkan tahap infrastruktur dan prasarana pendidikan tanpa mengira lokasi dan jenis sekolah.
Katanya, kerajaan tidak akan pilih kasih dan merancang membina Sekolah Kebangsaan Tellian di sini dalam tempoh terdekat.
"Keadaan yang sama juga akan dilakukan terhadap pembinaan Sekolah Menengah di Balingian yang ketika ini kawasan tersebut hanya memiliki sekolah rendah.
"Pembinaan dua sekolah ini akan terus diberi perhatian dalam Rancangan Malaysia Ke-11 bagi memastikan semua kawasan termasuk luar bandar dan pedalaman mempunyai kemudahan pendidikan," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment