My Add

Sunday, 16 March 2014

Keluarga harap ada titik noktah

PUTRAJAYA, SABTU, 15 Mac, 2014: Keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 mengharapkan akan ada titik noktah di sebalik pengumuman perkembangan terkini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ini.

Salah seorang ahli keluarga penumpang pesawat, Zulkifli Zakaria, 45, memberitahu, ini kerana tiada sebarang berita tepat berhubung kehilangan pesawat itu yang masuk hari kelapan.

"Petunjuk baharu yang diumumkan sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada ahli keluarga yang seolah-olah memberi gambaran penumpang selamat.

"Namun kami perlukan titik kesudahan dan jawapan sebenar terhadap kehilangan pesawat itu, di mana dan bagaimana mereka pada waktu ini," katanya ketika ditemui di Hotel Everly di sini hari ini.

Zulkifli merupakan bapa saudara kepada salah seorang penumpang pesawat MH370, Mohd. Razahan Zamani, 23.

Sementara itu, sepupu kepada penumpang bernama Suhaili Mustafa, Ahmad Rozian Othman, 51, menyifatkan pengumuman tersebut bagaikan menyuntik semangat ibu saudaranya, Rohani Ahmad.

"Ibunya kelihatan positif tidak seperti sebelum ini kerana tidak begitu banyak perkembangan yang diperoleh.

"Suhaili merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan sangat rapat dengan ibunya, mereka tinggal bersama di Shah Alam. Ayahnya telah meninggal dunia," katanya.

Ahmad Rozian berkata, dia sering berulang-alik ke hotel itu untuk memberi sokongan kepada ahli keluarga jurutera syarikat Freescale Semikonductor Malaysia Sdn. Bhd itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment