My Add

Sunday, 16 March 2014

Tiada niat hina Azizah

HULU LANGAT, SABTU, 15 Mac, 2014: Perkataan 'boneka' yang ditujukan kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bukan bertujuan menghina.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin menjelaskan, kenyataannya pada Isnin lalu tidak mempunyai maksud negatif, cuma sebagai gambaran bahawa Presiden PKR itu calon saat akhir selepas Ketua Umum parti berkenaan yang juga suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh bertanding.

"Ingin ditegaskan di sini bahawa saya tiada niat menghina, cuma saya kata dia pengganti saat akhir kepada Anwar dan memang betul pun, itu sahaja saya nak sampaikan, bukannya nak menghina," katanya ketika ditemui pemberita selepas program santai sarapan pagi bersama pengundi di Sungai Jelok di sini hari ini.

Turut bersama pada program tersebut calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N25 Kajang yang juga merangkap Naib Presiden MCA, Datin Seri Paduka Chew Mei Fun.

Beliau mengulas laporan portal berita yang memetik ucapannya ketika melancarkan jentera Pemuda BN untuk PRK DUN Kajang pada Isnin lalu yang antara lain menyebut Wan Azizah hanyalah 'boneka' dalam rancangan Anwar untuk menjadi Menteri Besar.

Bagaimanapun, kenyataan Khairy itu sering diulang dalam siri ceramah pemimpin pembangkang dengan menggambarkan Ketua Pemuda UMNO tersebut sebagai tidak tahu menghormati pemimpin lebih tua.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata, jentera Pemuda BN kini giat melaksanakan pelbagai program bagi memenangi sokongan 14,000 pengundi muda daripada keseluruhan 39,278 pengundi yang layak mengundi pada 23 Mac ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment