My Add

Sunday, 16 March 2014

Yossibnosh yakin raih sokongan pengundi Balingian

MUKAH,  SABTU, 15 Mac, 2014: Calon Barisan Nasional (BN), Yossibnosh Balo yakin beliau mempunyai kekuatan tersendiri untuk menarik perhatian pengundi memilihnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada 29 Mac ini.

Beliau yang baru meletak jawatan sebagai Pegawai Daerah Dalat semalam berkata, kepercayaan yang diberi oleh barisan pemimpin parti akan digunakan sebaik mungkin untuk memberi kemenangan kepada BN.

Calon berusia 48 tahun itu berkata, pengalaman sebagai kakitangan kerajaan selama 20 tahun dan sering berurusan dengan masyarakat setempat berupaya menarik perhatian pengundi di Balingian.

"Saya ucapkan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti yang memilih saya sebagai calon mewakili BN bertanding di DUN Balingian dan akan melakukan yang terbaik untuk kawasan Balingian apabila menang kelak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas diumumkan sebagai calon BN bertanding di DUN Balingian oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas di Dewan Suarah Mesra Mukah di sini hari ini.

Menurut Yossibnosh, pemilihan sebagai calon BN dan wakil rakyat jika memenangi pilihan raya itu tidak banyak berbeza dengan tugasnya sebagai pegawai daerah sebelum ini cuma berkhidmat dalam kapasiti berbeza.

Beliau dalam pada itu terdiam sejenak dan kelihatan sebak apabila mengakui dirinya berasal daripada keluarga susah.

"Saya berasal dari keluarga susah di Kampung Tellian Tengah di sini. Pengalaman itu menyebabkan saya cukup memahami kehendak penduduk kawasan ini (Balingian) dan mendorong saya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

Berhubung strategi kempen, Yossibnosh berkata, jentera parti bertekad untuk menjalankan kempen secara sihat dan mengelak daripada menggunakan taktik kempen yang memburukkan calon lain. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment