My Add

Friday 2 September 2011

Khalid Ibrahim beri persepsi buruk Islam - Noh Omar

UMNO Selangor menyifatkan pe-rutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 2011 yang dibuat Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim sebagai prejudis terhadap orang Islam.

Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Noh Omar (gambar) berkata, kenyataan itu seolah-olah menunjukkan orang Islam di negeri ini bermusuhan dengan bukan Islam.

“Saya kesal kenyataan dibuat Abdul Khalid itu kerana menimbulkan prasangka buruk tentang orang Islam. Hakikatnya, orang Islam tidak pernah melihat agama lain sebagai ancaman.

“Kita sudah kecapi kemerdekaan selama 54 tahun, tidak sepatutnya beliau (Khalid) meletakkan prejudis seperti itu. Seharusnya beliau sebagai Menteri Besar Selangor mendukung perpaduan negara,” katanya kepada Sinar HariN.

Beliau mengulas perutu-san Abdul Khalid yang menggesa orang ramai khususnya rakyat di negeri ini memperbetulkan banyak salah faham penganut agama Islam yang melihat orang bukan Islam sebagai ancaman, malah mengambil sikap bermusuh.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, perutusan yang dibuat sempena hari raya Aidilfitri itu menimbulkan satu suasana prasangka dan tidak sihat kepada masyarakat umum.

Menurut Noh, kenyataan Khalid itu seolah menunjukkan bahawa negara kita selama ini tidak harmoni dengan rakyat yang pelbagai kaum dan bangsa dan telah menakut-nakutkan rakyat.

“Islam sebagai agama rasmi, perkara itu telah termaktub di dalam perlembagaan, dan bangsa lain bebas mengamalkan agama mereka. Kita sepatutnya menghormati perkara itu, bukan meletakkan mana-mana agama sebagai ancaman.

“Beliau (Abdul Khalid) sendiri boleh lihat hasil keharmonian dan perpaduan yang telah wujud selama ini antara orang Islam dan bukan Islam sehingga negara boleh kecapi pelbagai kejayaan hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang turut membidas kepimpinan Pas yang bersikap ‘double standard’ dalam sesuatu isu yang membabitkan parti itu.

Noh berkata, mengapa sehingga hari ini masih tiada tindakan diambil parti itu terhadap timbalan presiden, Mohammad Sabu yang yang menganggap komunis sebagai hero Bukit Kepong.

“Saya lihat berlaku ‘double standard’ di sini apabila Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat dipanggil susulan kenyataan beliau berhubung projek Lynas di Pahang dahulu yang bercanggah dengan pendirian Pas,” katanya.

Sementara itu,Timbalan Persuruhjaya Pas Negeri III, Khalid Abdul Samad pula meminta semua pihak digesa agar tidak melupakan pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu,

Khalid berkata, ramai lagi pejuang yang tidak diangkat namanya oleh kerajaan, walaupun mereka merupakan individu penting dalam proses kemerdekaan negara.

Menurutnya, beliau menyokong penuh kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa golongan agamawan nasionalis yang dicap sebagai penentang atau golongan kiri oleh British juga pejuang kemerdekaan sebenar.

“Kita tidak boleh hanya menutupi sejarah tentang pejuang kemerdekaan yang menentang British walaupun bukan pemimpin UMNO.

“Ramai lagi pejuang Muslim yang bermati-matian menentang penjajahan British dan usaha menuntut kemerdekaan negara,” katanya, semalam.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Pas termasuk Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad turut menyokong pandangan tersebut.

Dr Dzulkifefly menegaskan pejuang seperti Tok Janggut yang menentang British di Kelantan, Tok Ku Paloh dan Haji Abdur Rahman Limbong di Terengganu, Datuk Bahaman di Pahang dan beberapa pejuang lain yang sanggup menggadai nyawa menentang penjajah.

Berdasarkan sejarah, dalam pertempuran dengan British di Kampung Pupuh, Tok Janggut dibunuh dan mayatnya dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang menelan masa sehari.

Kemudian mayat beliau digantung secara terbalik beberapa hari di depan istana di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.

Manakala, Haji Abdur Rahman Limbong pula dilabel sebagai penderhaka kepada kerajaan Terengganu dan ditangkap lalu dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928.








No comments:

Post a Comment