My Add

Monday 19 March 2012

Hala tuju Proton di bawah DRB-Hicom kekal - Mustapa

KUALA LUMPUR, ISNIN, 19 Mac, 2012: Pemilikan Proton Holdings Bhd. (Proton) oleh DRB-Hicom Bhd. tidak mengubah tujuan asal penubuhan Proton untuk menjadi peneraju industri automotif negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, DRB-Hicom adalah antara peserta utama dalam industri automotif di negara ini yang terlibat dalam rantaian bersepadu keseluruhan ekosistem automotif seperti pembuatan dan pengedaran komponen automotif, pemasangan, pengedaran serta kenderaan komersial dan motosikal.

Selain itu, katanya, pengalaman luas selama 26 tahun dalam sektor automotif tempatan serta rangkaian perkongsian strategik yang kukuh antara pengeluar kenderaan ternama dunia seperti Volkswagen, Honda, Audi dan Isuzu juga merupakan aset utama DRB-Hicom.

"Model Perniagaan baharu yang akan diperkenalkan oleh DRB-Hicom semestinya akan memastikan kesinambungan dan kecemerlangan Proton bersama semua ekosistem automotif negara pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang ingin tahu hala tuju dan strategi masa depan Proton selepas pembelian oleh syarikat DRB-Hicom, selain usaha pengurangan kos dan peningkatan kecekapan pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurut Mustapa, DRB-Hicom mempunyai perancangan yang menyeluruh untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang merangkumi semua aspek perniagaan Proton.

Sebagai permulaan, beliau berkata, terdapat pelbagai peluang untuk merealisasikan sinergi antara Proton dengan DRB-Hicom yang boleh meningkatkan kecekapan dan produktiviti industri automotif negara.

Mengenai hala tuju Proton di bawah DRB-Hicom, Mustapa berkata, kereta Proton akan terus dipertahankan sebagai jenama nasional dalam usaha membangunkan industri automotif tempatan ke arah peningkatan akses kepada kepakaran bertaraf dunia dan pasaran global. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment