My Add

Tuesday 20 March 2012

Lantikan pegawai perubatan latihan siswazah bertambah

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Mac, 2012: Dalam usaha menampung kekurangan doktor dan doktor pakar di hospital kerajaan, Kementerian Kesihatan telah melantik seramai 3,564 orang pegawai perubatan latihan siswazah pada tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat berbanding lantikan pada tahun-tahun sebelumnya iaitu 2007 seramai 1,290 orang dan mulai 2009, jumlah lantikan pegawai perubatan latihan siswazah di kementerian melebihi 3,000 orang setahun.

"Pertambahan yang amat ketara ini telah meningkatkan bilangan pegawai perubatan dan pegawai perubatan pakar di kementerian kepada 21,747 orang pada 2011,” katanya ketika menjawab soalan M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kulasegaran ingin tahu butir-butir kekurangan doktor dan doktor pakar di hospital kerajaan serta langkah kerajaan dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Rosnah berkata usaha kerajaan turut melibatkan penambahan jumlah penajaan biasiswa daripada 600 tempat kepada 800 tempat setahun mulai tahun lepas bagi melatih pegawai perubatan kementerian menjadi pegawai perubatan pakar.

"Sehingga 29 Feb, terdapat 2,644 orang pegawai perubatan yang sedang mengikuti latihan kepakaran dan sub kepakaran sama ada di dalam atau di luar negara,” katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment