My Add

Thursday 22 March 2012

Malaysia guna pendekatan fiskal tampan kesan krisis zon Euro

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 22 Mac, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia telah menggunakan pendekatan fiskal yang lebih baik bagi menampan kesan krisis zon Euro dan kelembapan ekonomi global.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini adalah berikutan kebimbangan bahawa kedua-duanya akan memberi kesan terhadap ekonomi negara ini dan khususnya terhadap Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Bercakap kepada pemberita pada majlis makan tengah hari peringkat menteri bagi para pemimpin korporat di sini hari ini, beliau berkata, salah satu daripada 51 Inisiatif Pemulihan Strategik (SRI) di bawah GTP, iaitu SRI Kewangan Awam, diperkenalkan untuk memaksimumkan penjanaan perolehan dan penjimatan kos bagi tempoh lima tahun.

"Wujud keperluan segera dan mendesak bagi menghubungkan jurang antara perbelanjaan dan perolehan,” katanya.

Inisiatif itu akan membantu kerajaan menguruskan perkara kecemasan, membayar hutangnnya dan melabur bagi masa depan, kata Muhyiddin.

"Sebab itu kerajaan melaksanakan semakan semula komprehensif kesemua perbelanjaan kerajaan dan keperluan merasionalisasikan subsidi,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya adalah penting untuk mencerminkan apa yang telah berlaku terhadap ekonomi negara ini dan mengambil pengajaran darinya.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment