BUKIT MERTAJAM, KHAMIS, 01 Mac, 2012: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) akan membina 238 unit rumah kos rendah dalam tempoh terdekat ini dengan kos keseluruhan pembinaan itu sebanyak RM15 juta.
Pengerusi PERDA, Datuk Azhar Ibrahim, berkata kesemua rumah dengan keluasan 1,000 kaki persegi itu dijangka siap dibina dalam tempoh dua tahun di tanah milik PERDA seluas lapan hektar.
"Kesemua rumah kos rendah ini adalah pegangan kekal kepada pemilik yang layak, dibayar secara sewa beli. Ini adalah usaha kerajaan dalam memastikan semua rakyat mampu memiliki rumah sendiri serta menjalani kehidupan seharian dengan sempurna," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah kepada Mohd Daud Abu Bakar, 39, peserta program penempatan semula kampung Permatang Tok Subuh, Bukit Minyak di sini, hari ini.
Program penempatan semula itu dibuat di tanah milik PERDA seluas 0.96 hektar, membabitkan 13 rumah yang dibina sejak 3 November 2011 oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Azhar berkata, seramai 24 orang mengemukakan permohonan kepada SPNB untuk mengikuti program penempatan semula itu dan daripada jumlah itu hanya 16 yang layak iaitu 13 buah rumah dibina oleh SPNB manakala tiga lagi dibina sendiri oleh pemilik.
"Kos keseluruhan bagi setiap rumah dalam program ini termasuk harga tanah adalah RM148,000 tetapi dijual dengan harga RM46,000 dan pemilik perlu membayar RM150 sebulan selama 25 tahun, kos selebihnya ditanggung oleh kerajaan.
"Dengan harga yang sangat murah ini diharap peserta program tidak terpengarauh atau gelap mata dengan tawaran pihak lain dan menjual rumah ini kerana apabila terjual mereka tidak akan ada tempat tinggal lagi," katanya.
Azhar berkata, pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan setiap rakyat dapat menikmati kehidupan yang selesa dan harmoni. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment