My Add

Saturday 17 March 2012

Raja Petra digugur sertai forum

Oleh Norfatimah Ahmad dan Nazura Ngah

Anwar didakwa pengecut enggan berdepan dengannya di Kent, England 

KUALA LUMPUR, SABTU, 17 Mac, 2012: Raja Petra Kamarudin mendakwa digugurkan daripada senarai ahli panel forum yang akan membincangkan senario politik global dijadual berlangsung hari ini, atas permintaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sambil menganggap Anwar sebagai pengecut kerana enggan berdepan dengannya pada forum di Kent, England itu, beliau berkata, tindakan itu mungkin disebabkan Anwar bimbang perbincangan itu akan membangkitkan isu politik semasa di negara ini.

“Saya menerima panggilan daripada WikiLeaks memaklumkan Anwar tidak bersetuju dengan kehadiran saya sebagai ahli panel. 

“Jadi forum itu hanya membabitkan Anwar dan pengasas WikiLeaks, Julian Assange. 

“Sebaliknya, saya setuju Anwar turut sertai forum itu, tetapi Anwar pula menolak kehadiran saya,” katanya kepada portal berita, Free Malaysia Today di sini, semalam. 

Anwar dijadualkan menyertai forum itu menerusi komunikasi Skype. Perbincangan itu akan dirakamkan untuk dokumentari laman web WikiLeaks, bagaimanapun, berikutan pengguguran Raja Petra, ia akan hanya membabitkan Anwar dan Assange. 

Raja Petra juga mempertikaikan keupayaan Anwar untuk berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana sepatutnya beliau berani berdepan dengannya dulu sebelum berhasrat berdebat dengan Najib. 

“Ia juga menggambarkan Anwar tidak boleh bertoleransi dan menghormati kebebasan media dan perbezaan pendapat. 

“Anwar hanya akan berurusan dengan pihak yang menyokong dan bersetuju dengan beliau. Jika ini sikap yang ditunjukkan ketua pembangkang, saya tidak dapat menjangka bagaimana beliau nanti apabila bergelar Perdana Menteri,” katanya. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment