My Add

Saturday 10 March 2012

Selesaikan masalah dalam parti: Muhyiddin

SEREMBAN, JUMAAT, 09 Mac, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu sebarang masalah yang wujud dalam parti diselesaikan dengan segera bagi memastikan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13). 

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, soal perpaduan adalah
perkara pokok dan dengan itu semua ahli parti perlu bersatu dan tidak bergaduh kerana BN tewas di beberapa kerusi pada pilihan raya umum lepas bukan kerana pembangkang kuat tetapi kerana perbuatan sabotaj dalam BN.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN sudah mengatakan bahawa PRU-13 adalah "ibu segala pilihan raya" dan itu bermakna ia 
adalah cabaran yang hebat," katanya pada majlis bersama pemimpin BN Negeri Sembilan di sini, hari ini. 

Terdahulu, Muhyiddin yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke negeri ini 
mengadakan pertemuan selama kira-kira sejam dengan ahli jawatankuasa (AJK) 
Perhubungan UMNO Negeri di Wisma UMNO Negeri di sini.

Beliau berkata, masanya sudah tiba untuk semua ahli parti membuktikan yang 
mereka sanggup berkorban untuk parti dan menunjukkan bahawa kekuatan BN sudah kembali seperti zaman kecemerlangannya sebelum ini. 

Muhyiddin berkata, situasi sekarang adalah berbeza dengan dahulu dan 
sekiranya BN tidak dapat membentuk kerajaan yang kuat, dengan itu BN akan 
berdepan dengan masalah. 

Katanya, ini kerana sekiranya BN gagal menguasai dua pertiga kerusi dalam 
Dewan Rakyat, dengan itu sukar untuk kerajaan melaksanakan segala perancangan kerana mungkin tidak mendapat persetujuan daripada anggota Parlimen terutama daripada pembangkang. 

Sehubungan itu, beliau menggesa ahli parti supaya terus melaksanakan tugas dengan baik dan menemui setiap pengundi dengan menyentuh perasaan mereka yang akhirnya akan membantu parti dengan menyokong parti. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment