My Add

Tuesday 13 March 2012

YBK jadi rakan strategik kerajaan basmi kemiskinan rakyat

SHAH ALAM, SELASA, 13 Mac, 2012 Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mampu menjadi rakan strategik kepada kerajaan Persekutuan dalam usahanya membasmi kemiskinan rakyat.

Perdana Menteri berkata, ini kerana yayasan itu telah membuktikan keupayaan sebagai badan bukan kerajaan yang dapat menyediakan pelbagai bantuan untuk golongan miskin daripada segi pendidikan, kewangan dan khidmat sosial, bukan sahaja di Selangor malah di negeri-negeri lain.

"Kerana kemampuan dan kebolehan yang dipamerkan YBK lah maka kerajaan tetap memberi sokongan kepada pertubuhan itu,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Program Transformasi Lima Tahun YBK sempena ulang tahun ke-22 yayasan itu, di sini hari ini.

Najib memberi contoh projek pembinaan kampus Universiti Teknologi MARA di Jasin, Melaka yang dilaksanakan oleh YBK.

Mengenai program transformasi lima tahun YBK yang dilancarkan hari ini, Perdana Menteri berkata, program itu akan memberi kesan yang amat besar kepada golongan sasaran. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment