KUALA LUMPUR, khAMIS, 28 Jun, 2012: Penglibatan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dalam industri minyak dan gas sejak 2008 dijangka mampu menjana pulangan maksimum serta memberi lebih banyak manfaat kepada tujuh juta pendepositnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Tabung Haji telah memilih Ramunia Holdings Berhad untuk menceburi industri itu dengan jumlah pelaburan sekitar RM300 juta yang melibatkan pegangan saham sebanyak 25.17 peratus.
"Ini menjadikan Tabung Haji sebagai pemegang saham terbesar dalam syarikat ini dan seterusnya menunjukkan komitmen dalam pelaburan strategik ini.
"Saya yakin pelaburan dalam industri ini akan dapat memenuhi matlamat dan objektif penubuhan Tabung Haji sebagai tunggak kejayaan ekonomi ummah serta pengurusan haji terbilang," katanya pada majlis penjenamaan semula Ramunia Holdings Berhad di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Ramunia Holdings Berhad secara rasminya mengumumkan penukaran nama kepada TH Heavy Engineering Berhad (THHE).
Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail dan Pengerusi Ramunia Holdings Berhad, Datuk Azizan Abd. Rahman.
Menurut Jamil Khir, berdasarkan perkembangan sektor minyak dan gas yang menyumbang kira-kira 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu, sektor itu dijangka memainkan peranan besar dalam menggerak pertumbuhan ekonomi negara.
"Saya percaya industri ini juga akan menjadi pemangkin dalam mempercepatkan transformasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020," ujarnya.
Sementara itu, Azizan memberitahu, penjenamaan semula syarikat itu telah mendapat kebenaran daripada pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) ke-8 yang diadakan baru-baru ini.
"Langkah ini adalah salah satu usaha untuk mengukuhkan penjenamaan korporat berikutan penukaran pemegang saham di samping meningkatkan keyakinan di kalangan rakan niaga kami.
"Penukaran nama ini juga dilihat tepat dan penting bagi menunjukkan fokus syarikat dalam perniagaan utama yang melibatkan kejuruteraan berat dalam industri minyak dan gas," jelasnya.Pengurusan kes Shahrizat saman Rafizi, Zuraida, 13 Julai
NORAZLITA MOHD. SIES (amir)
KUALA LUMPUR 28 Jun - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 13 Julai depan untuk pengurusan kes saman fitnah RM100 juta oleh bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).
Tarikh itu ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera ketika pengurusan kes saman itu hari ini.
Peguam J. Leela yang mewakili Pengarah Strategik PKR, Mohd. Rafizi Ramli memberitahu pemberita, mahkamah menetapkan tarikh tersebut untuk Shahrizat memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan terpinda.
Pada prosiding itu, Shahrizat diwakili peguam Y. Seelan manakala Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang dinamakan sebagai defendan kedua, diwakili peguam Razlan Hadri.
Pada 19 Januari lalu, Shahrizat memfailkan saman fitnah dengan mendakwa, Mohd. Rafizi dan Zuraida melancarkan satu kempen strategik untuk mencemarkan nama baiknya dengan mengaitkan diri beliau dengan NFC.
Walhal menteri itu mendakwa, beliau tidak memegang jawatan atau memiliki ekuiti dalam projek tersebut mahupun Agro-Science Industries Sdn. Bhd. (Agro-Science).
Pada 30 Mac lalu, Mohd. Rafizi memfailkan tuntutan balas terhadap Shahrizat dan mendakwa bekas menteri yang sepatutnya menjawab pendedahan yang dibuatnya berhubung isu NFC, sebaliknya melancarkan serangan peribadi dan dendam terhadapnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment