MELBOURNE, JUMAAT, 29 Jun, 2012:: Seorang wanita hamil dari Malaysia yang menelan 34 until kecil heroin di Kuala Lumpur sebelum ditahan di lapangan terbang Melbourne pada Jumaat, dihukum penjara 14 bulan selepas mengaku bersalah mengimport heroin.
Akhbar The Age melaporkan, Hakim Mahkamah Daerah Gabriele Cannon menyelar Norazlinda Ramli, 35, dari Puchong, Selangor kerana sanggup membahayakan nyawa bayi yang dikandungnya dengan berkata tindakannya menjadi penyeludup dadah "tidak menguntungkan diri kamu".
Kata hakim itu walaupun Norazlinda, yang dijadual melahirkan bayi perempuan dan sudah diberi nama 'Grace' pada 15 Julai, berhasrat untuk tinggal bersama bayinya di dalam penjara, tetapi perkara itu akan diputuskan pihak berkuasa berkenaan.
Norazlinda, yang dipercayai menghadapi masalah kewangan, mengandung 12 minggu ketika menelan untilan dadah berkenaan dan menaiki pesawat Malaysian Airlines dari Kuala Lumpur ke Melbourne pada 12 Februari.
Selepas ditahan pegawai kastam, dia mengeluarkan untilan yang mengandungi 83.1 gram heroin tulen dan dianggarkan bernilai A$92,200 di pasaran gelap.
Hakim Cannon berkata Norazlinda mendakwa dia tidak menyedari untilan berkenaan mengandungi heroin.
Dalam keterangan kepada polis, Norazlinda berkata dia didatangi seorang lelaki semasa bekerja di pusat beli-belah di Subang Jaya dua minggu sebelum menaiki pesawat dan diberitahu akan dibayar RM9,000 sekiranya dia menelan 80 until kecil dan pergi ke Australia.
Bagaimanapun, kata wanita ini, dia hanya dapat menelan 34 until.
Hakim Cannon berkata Norazlinda menerima tawaran lelaki berkenaan kerana ingin menyara keluarganya.
Norazlinda mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan keluarganya ketika berusia 16 tahun dan mempunyai lima anak.
Anak lelakinya meninggal dunia ketika berusia tiga tahun kerana masalah paru-paru tiga tahun lalu, manakala ibunya meninggal dunia akibat kanser pada 2009. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment