My Add

Friday, 29 June 2012

Koperasi kita jadi model Guinea

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Jun, 2012: Hasrat Presiden Guinea, Prof. Alpha Conde mengaplikasikan kaedah dan aktiviti koperasi negara ini di negara tersebut membuktikan kemampuan koperasi tempatan setanding dengan koperasi di peringkat antarabangsa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, minat yang ditunjukkan kerajaan Guinea itu merupakan pengiktirafan yang seharusnya dibanggakan rakyat negara ini.

Menurut beliau, ia juga membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup dan ekonomi rakyat dengan aktiviti koperasi menjadi salah satu pendekatannya.

"Segala usaha itu terbukti berkesan dengan minat yang ditunjukkan beberapa negara luar terhadap pengurusan dan kemampuan koperasi tempatan antaranya Brunei, Timor Leste dan terbaru Guinea," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Prapelancaran Hari Koperasi Negara (HKN) 2012 di sini hari ini.

HKN 2012 akan berlangsung selama tiga hari bermula 13 Julai ini di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 Julai.

Mengenai HKN 2012, Ismail Sabri berkata, program itu bakal menjadi sambutan terbesar kerana buat pertama kalinya melibatkan beberapa negara dari rantau ini iaitu Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Vietnam.

"Selain itu, HKN 2012 juga dijangka disertai lebih 100,000 ahli koperasi dari seluruh negara," katanya.

Menurut Ismail Sabri, bermula tahun ini juga anugerah khas iaitu Anugerah Tokoh Koperasi Negara bakal diperkenalkan bagi menghargai jasa dan pengorbanan individu dalam bidang tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment