My Add

Thursday, 28 June 2012

Polis tumpas geng curi kereta, pecah rumah

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Jun, 2012: Polis menumpas "Geng Hong" yang aktif mencuri kereta dan pecah rumah yang membabitkan kerugian RM500,000 dengan tertangkapnya tujuh suspek di Genting Highlands, Pahang dan Cheras di sini pada 8 dan 14 Jun lalu. 

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh, berkata lima lelaki dan dua wanita berumur 30-an itu ditahan bersama-sama lima kereta curi iaitu dua jenis BMW, sebuah Proton Savvy, Honda Odyssey dan Civic, komputer riba, telefon bimbit, kunci kereta dan alatan pecah rumah.

"Lima suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita pada mulanya ditahan di Genting Highlands pada 8 Jun sebelum polis yang melakukan siasatan lanjut menahan dua lagi lelaki, iaitu anggota kumpulan yang sama di sekitar Cheras pada 14 Jun," katanya pada sidang berita di sini hari ini.

Mohan berkata, dengan tangkapan itu, polis yakin sudah berjaya menyelesaikan 17 kes curi kereta dan pecah rumah di kawasan Cheras, Brickfields, Kajang dan Gombak. 

Katanya, semua suspek terbabit yang aktif melakukan kegiatan itu sejak April lalu, menggunakan modus operandi memecah masuk rumah yang tidak berpenghuni sebelum melarikan barang berharga di rumah tersebut, termasuk kereta yang diparkir di rumah terbabit. 

Sementara itu, polis Cheras menahan 55 individu yang terbabit dalam pelbagai kesalahan lalu lintas serta penggunaan dadah dalam "Ops Lejang" yang dilancarkan 18 Jun lalu. 

"Dalam ops ini kita memeriksa 3,052 orang, 1,637 motosikal, 745 kereta, 94 lori dan enam buah bengkel. Hasil pemeriksaan ini, kita berjaya mendapatkan semula empat buah kereta dan 16 motosikal yang dicuri," katanya. 

Dalam kes berasingan, polis yang melancarkan "Ops Soga Euro 2012", menahan dua lelaki yang terbabit dalam aktiviti pertaruhan kejohanan bola sepak itu di sebuah restoran di Jalan Lanchang di sini kira-kira 3.20 pagi ini. 

"Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua lelaki berumur 30 dan 36 tahun itu, kita merampas dua iPad, satu iPhone, dua telefon bimbit dan wang tunai RM11,000. 

"Kedua-dua mereka yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau ditahan kerana menjalankan kegiatan pertaruhan dan akan disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953," katanya. 

Beliau berkata, ketika tangkapan, kedua-dua mereka baru sahaja bertaruh dalam perlawanan antara Sepanyol dan Portugal awal pagi ini. 

"Kita akan menyiasat pembabitan mereka dengan mana-mana sindiket perjudian yang menjalankan kegiatan yang sama," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment