My Add

Saturday, 30 June 2012

Warga emas hidup daif dapat perhatian

*ADZMI Din (tengah) dan Boon Som Inong (kiri) menyampaikan bantuan barangan keperluan kepada warga emas, Tong Kiam Endin Tong di rumahnya di Kampung Tas, Mukim Pulai, Baling, Kedah, semalam.

BALING, JUMAAT, 29 Jun, 2012: Nasib malang seorang wanita warga emas yang terpaksa hidup sebatang kara di rumah usang di Kampung Tas, Mukim Pulai dekat sini mendapat perhatian Pengerusi Program Kasih Sayang Perdana Menteri Peringkat Kedah, Datuk Adzmi Din dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Boon Som Inong semalam.

Rumah yang didiami oleh Tong Kiam Endin Tong, 62, hasil peninggalan ibu bapanya itu, usang selepas dia tidak mampu memperbaiki semula akibat kesempitan hidup.

Ia akan diperbaiki semula selepas peruntukan khas dikeluarkan secara terus daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Adzmi memberitahu, pihaknya telah mengadakan tinjauan dan mendapati ada keperluan mendesak untuk membina semula rumah bagi keselesaan warga emas itu.

"Keadaan rumah beliau agak uzur malah tiada kemudahan elektrik dan air. Jadi, kita sekarang telah meluluskan sebuah rumah baru yang akan dibina menerusi kaedah gotong-royong.

"Kita akan membuat pemantauan terhadap kehidupan Tong Kiam selepas ini selaras dengan Program Kasih Sayang Perdana Menteri," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat warga emas itu, di sini semalam.

Adzmi yang juga Timbalan Presiden Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) berkata, beliau diamanahkan oleh Perdana Menteri untuk memantau dan mengatasi masalah kemiskinan di peringkat negeri Kedah.

"Setakat ini kita telah berjaya membina 200 buah rumah dan memberikan bantuan berupa makanan dan keperluan asas kepada 23,000 individu tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan ideologi politik di Kedah," katanya.

Katanya, program tersebut berjalan secara lebih dekat dengan masyarakat akar umbi dan tanpa sebarang kerenah birokrasi.

"Kita hanya buat tinjauan dan cuba kurangkan kerenah. Tiada sebarang borang diperlukan. Jika benar-benar layak, bantuan akan disalurkan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, Boon Som berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kes Tong Kiam menerusi laman web sosial masyarakat Siam baru-baru ini.

Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh, warga emas itu tinggal seorang diri di rumah usang berkenaan selepas ibu bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu.

"Rumah itu tidak mempunyai bilik tidur dan sudah reput dimakan anai-anai. Lebih menyedihkan, Tong Kiam hidup sebatang kara malah dalam keadaan uzur kerana tidak mempunyai keluarga serta keadaan kesihatan tidak mengizinkan," katanya.

Bagaimanapun, Boon Som berkata, beliau bersyukur kerana mendapat reaksi positif selepas perkara itu dibawa kepada pengetahuan Azmi.

"Bagi pihak masyarakat Siam, saya bersyukur dan berterima kasih kerana masalah wanita berkenaan berjaya diselesaikan menerusi Program Kasih Sayang Perdana Menteri," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment