My Add

Friday 29 June 2012

Perbicaraan kes Shamsubahrin bermula 10 September

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 29 Jun, 2012: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan tiga hari bermula 10 Sept depan untuk perbicaraan kes ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail yang menghadapi lima pertuduhan menipu bekas pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail membabitkan RM1.755 juta. 

Hakim Rozilah Salleh turut menetapkan tarikh yang sama untuk perbicaraan kes Shamsubahrin, yang menghadapi 17 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Rozilah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa supaya kedua-dua kes itu dibicarakan bersama dan ia turut dipersetujui peguam Zarina Ismail serta Kamarul Hisham Kamaruddin, yang mewakili Shamsubahrin.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Shamsubahrin, 45, didakwa menipu Mohamad Salleh, iaitu dengan sengaja menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan memperdaya sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya di sebuah restoran di Bukit Tunku di sini pada 6 petang 20 November tahun lalu. 

Dia juga menghadapi empat pertuduhan lain iaitu menipu Mohamad Salleh, yang kini merupakan pengerusi NFC, dengan memperdaya beliau (Mohamad Salleh) supaya menyerahkan empat cek yang kesemuanya berjumlah RM1.755 juta kepadanya untuk mempercayai kononnya sebahagian daripada wang itu diberikan kepada pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana, bagi menutup kes yang sedang disiasat pihak polis berkaitan NFC. 

Shamsubahrin dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di premis CIMB Bank cawangan Taman Tun Dr Ismail, Maybank cawangan Kuala Lumpur City Center (KLCC) dan Maybank cawangan utama Petaling Jaya, antara 25 November hingga 5 Disember tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 420, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan. 

Bagi 17 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta, Shamsubahrin didakwa terhadap dua pertuduhan mengeluarkan wang milik NFC dan miliknya serta enam pertuduhan mendepositkan wang tunai miliknya dan dua lagi syarikat ke dalam akaun isterinya melibatkan jumlah yang sama. 

Shamsubahrin, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Resources Sdn Bhd juga didakwa terhadap enam pertuduhan memindahkan wang miliknya ke dalam akaun isterinya dan syarikatnya serta tiga pertuduhan menggunakan cek bank bagi tujuan pembelian tiga kereta. 

Semua kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail, RHB Bank First Avenue Bandar Utama, Petaling Jaya, Maybank Desa Sri Hartamas, RHB Bank Kuala Lumpur Comercial Center, Maybank Kuala Lumpur Comercial Center, Maybank Petaling Jaya antara 25 Nov 2011 dan 13 Disember 2011. 

Bagi semua pertuduhan itu, Shamsubahrin didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment