My Add

Friday 29 June 2012

Bomba rancang unit udara di Sabah, Sarawak

PORT DICKSON, JUMAAT, 28 Jun, 2012: Jabatan Bomba dan Penyelamat merancang menubuhkan unit udara di Sabah dan Sarawak bagi memantau, mencegah dan menangani masalah kebakaran terutama membabitkan hutan di kedua-dua negeri berkenaan. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata penubuhan unit udara di kedua-dua negeri itu perlu kerana kawasannya yang luas dan sukar dilalui melalui jalan darat.

"Dengan adanya unit udara ini akan memudahkan pergerakan di kedua-dua negeri berkenaan. Ini keutamaan kami," katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan pingat kebesaran jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan 2011 di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini pihaknya mempunyai dua pangkalan udara iaitu di Subang, Selangor dan Kepala Batas, Pulau Pinang serta tujuh helikopter. 

"Kalau ada peruntukan daripada kerajaan, kita akan cuba tambah pangkalan udara sama ada di Sabah atau Sarawak," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Wan Mohd Nor berkata pihaknya sentiasa mengenal pasti kawasan yang perlu dibina balai bomba baru di seluruh negara, namun ia bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan. 

"Kalau ada peruntukan, kita akan buat. Sebagai contoh di Negeri Sembilan, kita akan bina sebuah balai bomba baru di Gemencheh," katanya. 
Pada majlis itu, seramai 14 pegawai bomba dianugerahkan pingat kebesaran jabatan manakala 52 pegawai dan kakitangan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment