My Add

Thursday, 28 June 2012

PKR, PAS, DAP masih runding pertindihan kerusi: Azmin

KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 28 Jun, 2012: Pakatan pembangkang masih lagi dalam proses rundingan di peringkat kepimpinan tertinggi ketiga-tiga parti bagi menyelesaikan isu pertindihan kerusi di beberapa kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar kerusi terbabit dengan alasan ia akan mengganggu proses rundingan antara ketiga-tiga parti.

Katanya, proses rundingan akan selesai dalam seminggu dua lagi dan yakin masalah pertindihan itu dapat diatasi dengan baik berikutan pemuafakatan yang terjalin antara PKR, PAS dan DAP.

"Cukup saya katakan kerjasama dari PAS dan DAP cukup baik dan akrab yang akan memudahkan lagi proses rundingan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pengagihan bahan kempen pilihan raya umum ke-13 di sini, hari ini. 

Diminta mengulas berhubung keengganan PAS menyerahkan lebih banyak kerusi kepada PKR Terengganu pada pilihan raya umum kali ini, Azmin menegaskan itu hanya pandangan dari peringkat akar umbi yang perlu dihormati. 

PKR Terengganu sebelum ini menyuarakan hasrat untuk bertanding di 11 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen namun ditentang oleh PAS Terengganu. 

"Kita perlu hormati pandangan akar umbi sama ada dari PKR ataupun PAS, namun seperti yang saya nyatakan tadi, keputusan muktamad tetap akan diputuskan kepimpinan tertinggi ketiga-tiga parti," katanya.
 
Ditanya mengenai desas desus hubungan dingin beliau dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, beliau berkata perkara isu itu sengaja diperbesar-besarkan oleh media arus perdana. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment