KUALA LUMPUR,khamis, 28 Jun, 2012: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Suara Rakyat Malaysia (Suaram) digesa supaya tidak terlalu mengikut telunjuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyebarkan fitnah mengenai pembelian kapal selam negara, Scorpene.
Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan berkata, Sivarasa dan Suaram perlu segera menghentikan segala pembohongan berkaitan aset ketenteraan negara itu kerana ia memberi imej buruk kepada negara.
Selain itu katanya, Sivarasa dan Suaram secara jelas kini menjadi alat Anwar dalam penyebaran fitnah ke atas pimpinan negara berkaitan perolehan tersebut.
"Sebagai sahabat Sivarasa, saya menggesa beliau dan Suaram supaya segera membebaskan diri daripada terus dipergunakan Anwar.
"Sebagai Ahli Parlimen, Sivarasa perlu bertanggungjawab terhadap para pengundi dan rakyat secara amnya dengan tidak terus menyebarkan fitnah tidak berasas sebegini," katanya di sini hari ini.
Sivarasa dan pemimpin Suaram sebelum ini pernah mengadakan sidang akhbar di Bangkok, Thailand bersama peguam Perancis yang dilantik NGO itu, Joseph Breham.
Mereka mendakwa pimpinan tertinggi negara mungkin akan disapina oleh mahkamah Perancis dalam kes rasuah membabitkan pembelian Scorpene oleh kerajaan Malaysia dari negara Eropah tersebut.
Bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada sidang Dewan Rakyat kelmarin mengesahkan tiada perbicaraan berlangsung di Perancis berhubung perkara itu termasuk oleh Mahkamah 'Tribunal de Grande Istance'.
Gobalakrishnan menambah, Anwar selama ini menugaskan beberapa MPP PKR untuk mencari serta mencipta isu tertentu mengikut kepakaran masing-masing bagi 'melancarkan serangan' ke atas kerajaan.
"Semasa masih bersama PKR, saya sendiri ditugaskan oleh Anwar untuk mencari dan mencipta isu mengenai masyarakat India dan Sivarasa pula diberi tanggungjawab dalam hal Scorpene dan Suaram.
"Tian Chua (Naib Presiden PKR) pula ditugaskan mencipta gambar palsu Perdana Menteri bersama model Mongolia, Altantuya Shaariibuu namun Anwar tidak berpuas hati kerana hasilnya amat kabur dan mencurigakan, Tian Chua gagal di situ," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment