JAKARTA, JUMAAT, 29 Jun, 2012: Perjalanan dua bersaudara warganegara Malaysia ke tanah nenek moyang di Mandailing Natal, Sumatera Utara untuk menemui keluarga yang lama terpisah, berakhir tragedi apabila bas mini yang mereka naiki dalam perjalanan pulang ke Medan, jatuh ke dalam sebuah jurang sedalam 150 meter di tepi Danau Toba pagi Khamis.
Zaidun Basir, 68, dari Cheras, Kuala Lumpur dan adiknya Zulkifli Mohd Basir, 64, dari Johor Baharu, adalah antara lapan orang termasuk pemandu bas mini itu yang maut dalam nahas di Batu Gantung, Simalungun pada pukul 5 pagi itu.
Mereka sebelum itu menemui anggota keluarga yang dicari di Natal, daerah Mandailing Natal dan mengumpul maklumat tentang salasilah keluarga untuk dibukukan sebagai rujukan anak cucu.
Kedua-dua beradik berketurunan Mandailing dan berasal dari Chikus, Teluk Intan, Perak, dikatakan telah juga menziarahi makam nenek moyang mereka di situ sebelum berlepas dengan sebuah bas mini menuju Medan untuk pulang ke Malaysia dengan pesawat dari sana semalam. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment