My Add

Friday 29 June 2012

IPU ILP Miri masih tahap tidak sihat

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Jun, 2012: Kawasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak menjadi satu-satunya kawasan yang berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 105, sehingga 11 pagi ini. 

Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS), 21 kawasan berada pada tahap baik daripada 51 stesen pengawasan kualiti udara JAS, manakala 29 kawasan lagi berada pada tahap sederhana.

"Keluasan kebakaran hutan belukar di kawasan tanah gambut di Permai Jaya berdekatan ILP Miri di Kuala Baram, Sarawak, menyebabkan kemerosotan kualiti udara setempat dan peningkatan bacaan IPU sehingga ke tahap sangat tidak sihat beberapa hari lalu.

"Pihak JAS masih menyiasat punca kebakaran dan peningkatan IPU ini, manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan bantuan agensi-agensi kerajaan negeri Sarawak serta syarikat tempatan sedang bertungkus lumus memastikan kebakaran tidak merebak dan terkawal," menurut JAS dalam satu kenyataan hari ini. 

Kerajaan Sarawak juga sudah menggerakkan Jawatankuasa Bencana Bahagian Miri membabitkan agensi tempatan berkaitan bagi membendung kebakaran daripada merebak selain membantu kerja-kerja pemadaman api dan mengawal kebakaran. 

Menurut JAS, status kualiti udara di negeri-negeri lain di Semenanjung bertambah baik dan menunjukkan penurunan bacaan IPU. 

Bagaimanapun, ia berkata status kualiti udara masih belum stabil berdasarkan jangkaan cuaca panas dan kering berlaku di beberapa kawasan sepanjang Jun dan bilangan titik panas yang masih tinggi di Sumatera. 

JAS juga sudah menggerakkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan serta mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri di samping mempertingkatkan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar. 

Penguatkuasaan terhadap pelepasan asap daripada kenderaan bermotor dan pelepasan dari industri turut dipertingkatkan. 

Menurut kenyataan itu, perintah larangan pembakaran terbuka bagi kawasan di seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikeluarkan pada 16 Jun lalu serta larangan serupa membabitkan Tudan, Permai Jaya dan Kuala Baram di Miri, Sarawak yang dikeluarkan pada 22 Jun lalu, masih berkuatkuasa. 

IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah bacaan baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment