My Add

Friday, 29 June 2012

Kerajaan tidak diskriminasi sekolah vernakular

*
MUHYIDDIN melihat gelagat sebahagian murid SJKT Vivekananda yang ceria dengan peIDDINrasmian bangunan baru sekolah berkenaan yang disempurnakan oleh beliau di Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA, KHAMIS, 28 Jun, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan tidak pernah mendiskriminasi sekolah vernakular di negara ini termasuk dalam pemberian peruntukan kewangan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan bertanggungjawab memastikan kelangsungan hayat sekolah yang dianggap sebagai legasi itu dan kewujudannya perlu diterima oleh semua pihak.

"Ada pihak kata kita tak beri sokongan dan bantuan yang cukup. Ini kenyataan tidak benar.

"Dari 2010 hingga tahun lalu, Kementerian Pelajaran belanja lebih RM1.04 bilion untuk bayaran kos operasi sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan jika ditambah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), kita belanja RM2.4 bilion," katanya berucap pada majlis perasmian bangunan baru SJKT Vivekananda di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G. Palanivel; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay dan Pengerusi Vivekananda Ashrama serta SJKT Vivekananda, Tan Sri Dr. K. Ampikaipakan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, selain peruntukan kewangan, kerajaan juga akan memastikan kualiti pembelajaran sekolah vernakular ditingkatkan menerusi Kajian Semula Sistem Pendidikan Kebangsaan yang sedang dilaksanakan.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menggesa pemimpin-pemimpin masyarakat India untuk 'duduk semeja' dengan beliau bagi membincangkan kaedah terbaik dalam menyelesaikan masalah kekurangan murid di beberapa SJKT.

"Saya dimaklumkan banyak sekolah seperti ini (SJKT) sekarang jadi sekolah kurang murid. Ada sekolah yang boleh memuatkan 100 murid tetapi cuma ada 10 orang sahaja.

"Jadi saya nak ajak pemimpin masyarakat India untuk duduk dengan saya tentang apa yang boleh kita lakukan. Sama ada kita jadikan sekolah integrasi atau ditempatkan di sekolah yang muridnya ramai," katanya.

Beliau kemudiannya mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM6 juta kepada SJKT Vivekananda dan SJKT Vivekananda serta SMK Vivekananda di Brickfields.

Kerajaan juga jelasnya, bersetuju meluluskan permohonan mewujudkan tingkatan enam di SMK Vivekananda dengan tiga syarat utama selain mengkaji keperluan membina asrama.

Terdahulu, pada majlis sama, beliau menyaksikan penyerahan tajaan sebanyak RM50,000 oleh Takaful Malaysia Bhd. untuk menaik taraf makmal teknologi maklumat sekolah itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment