My Add

Friday 29 June 2012

Bersama tangani jenayah pemerdagangan orang

KUANTAN, KHAMIS, 28 Jun, 2012: Tanggungjawab menangani jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata tetapi memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk rakyat.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, mengikut statistik, keseluruhan aktiviti pemerdagangan orang dari 2008 hingga Mac lalu adalah sebanyak 439 kes melibatkan 621 jumlah tangkapan.

Bagi kes penyeludupan migran pula katanya, sebanyak 31 kes telah disiasat, 47 tangkapan telah dilakukan dan 655 migran diseludup ke Malaysia dari November 2010 hingga Mac lalu.

"Statistik ini jelas menunjukkan pemerdagangan orang di Malaysia adalah amat serius dan akan meningkat sekiranya tidak dibanteras.

"Apa yang mendukacitakan, kesedaran rakyat tentang isu ini masih di tahap rendah malah ramai tidak memahami definasi sebenar dimaksudkan dengan pemerdagangan orang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Kempen Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran Peringkat Negeri Pahang yang dihadiri lebih 1,000 orang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Datin Seri Junaini Kassim, Naib Yang Dipertua Zon Pantai Timur Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Datuk Maznah Mazlan dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ali Besar.

Rosmah berkata, perkembangan ekonomi dan kemakmuran negara menjadi tarikan utama kepada ramai warga asing dari seluruh dunia dan ia sekali gus membuka peluang kepada aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan orang.

Dalam perkembangan sama, beliau memuji tindakan serta inisiatif NCWO kerana telah berganding bahu dengan kerajaan negeri serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dalam menjayakan kempen tersebut.

"Kempen ini sebenarnya merupakan pembuka minda kepada setiap rakyat kerana ramai yang tidak mengetahui tentang jenis-jenis jenayah yang boleh diklasifikasikan sebagai pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

"Dengan penganjuran kempen sebegini, saya amat mengharapkan agar rakyat akan bersama-sama berkongsi dan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan mengeksploitasi manusia di tempat mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment