PUTRAJAYA, KHAMIS, 28 Jun, 2012: Sekumpulan penyewa lot niaga di Bukit Bintang Plaza (BB Plaza) memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan menghalang pengambilalihan kompleks beli-belah itu bagi pembinaan My Rapid Transit (MRT).
Mereka yang majoritinya peniaga Melayu dan sudah berniaga sejak plaza itu didirikan tiga dekad lalu, mahu kerajaan mendengar rintihan serta suara rakyat yang sedang dihimpit masalah.
Wakil penyewa, Hassan Saad berkata, mereka buntu memikirkan cara untuk menyelamatkan perniagaan yang pasti akan mengalami kerugian puluhan ribu ringgit jika perancangan itu diteruskan.
"Jika dirobohkan ia pasti menjejaskan periuk nasi kami seramai 167 penyewa dan lebih 2,000 pekerja kerana kita akan kerugian lebih kurang 70 hingga 80 peratus daripada biasa.
''Pada masa yang sama, bulan depan sudah bermula puasa dan menjadi tumpuan pelancong dari Arab untuk membeli-belah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum membantah tindakan meroboh BB Plaza kepada Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Ghazali Ibrahim di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah dan lebih seratus peniaga serta pekerja BB Plaza. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment