My Add

Friday 29 June 2012

Anwar akan beri keterangan kes saman Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 29 Jun, 2012: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi keterangan dalam kes saman RM100 juta beliau terhadap Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berhubung dakwaan mengeluarkan perkataan berunsur fitnah yang dimuat naik dalam beberapa laman web, termasuk Malaysiakini.com, menerusi klip video. 

Peguam J Leela yang mewakili Anwar memberitahu pemberita bahawa Ketua Pembangkang itu dan seorang wartawan akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

Leela berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menetapkan 14 dan 20 Nov untuk mendengar kes saman itu selepas bertemu beliau dan peguam Faizal Faiz, yang mewakili Khairy, di dalam kamarnya.

"Hakim turut memerintahkan kedua-dua pihak supaya memfailkan ringkasan kes, senarai saksi dan isu yang akan dibicarakan," katanya. 

Pada 7 Mac, 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy dengan mendakwa defendan, ketika itu Naib Ketua Pemuda UMNO, mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk "Anwar and Kin No Threat", dimuat naik dalam beberapa laman web, termasuk Malaysiakini.com. 

Anwar memohon RM100 juta dalam ganti rugi teruk dan teladan, selain relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. 

Khairy, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 8 Oktober, 2010, berkata beliau bersandar kepada pembelaan justifikasi dan perlindungan bersyarat. 

Beliau berkata, sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO, beliau mempunyai tanggungjawab perundangan, moral dan sosial kepada masyarakat dan orang Melayu, dan orang awam mempunyai kepentingan yang sah yang bersamaan dalam penerimaan maklumat berkaitan perkara dalam perbincangan yang memberi kesan kepada sosial, ekonomi dan politik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment