My Add

Saturday 30 June 2012

Kaji graduan tidak dapat kerja setimpal

*MOHAMED Khaled beramah mesra dengan pengunjung di tapak pameran Media Prima Berhad pada Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) 2012 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 29 Jun, 2012:: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menubuhkan pasukan khas untuk mengkaji isu graduan yang tidak mendapat pekerjaan setaraf dengan kelulusan mereka. 

Kajian itu juga untuk mengetahui sama ada graduan memperoleh pendapatan setimpal dengan kursus dipelajari ketika menuntut di institut pengajian tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata melalui kajian itu, pihaknya boleh mengetahui berapa peratus graduan yang memperoleh pekerjaan sesuai dengan kelulusan mereka.

“Kita mahu tahu adakah graduan bekerja berdasarkan kelulusan yang diperoleh. Selain itu, kita juga mahu tahu sejauh mana syarikat akan menawarkan pekerjaan kepada graduan selepas mereka menjalani latihan praktikal. 

“Apakah penyelesaian kepada semua masalah ini hanya akan diketahui apabila kajian disiapkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam. 

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Dr Hou Kok Chung dan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ab Rahim Md Noor. 

Karnival anjuran KPT dengan kerjasama Majlis Keusahawanan Mahasiswa Universiti Malaysia (MAKMUM) dan Gabungan Koperasi Siswa Malaysia Berhad (KOSISMA) itu disertai 150 pempamer daripada agensi kerajaan dan sektor swasta menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan keusahawanan. 

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, usaha perlu diambil untuk meningkatkan penyertaan graduan dalam bidang keusahawanan kerana ketika ini hanya satu peratus atau 1,034 graduan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti daripada 180,000 yang menamatkan pengajian tahun lalu menceburi bidang perniagaan. 

“Mereka perlu memilih bidang ini kerana ia bukan saja mengurangkan kadar pengangguran, malah membantu kita (kerajaan) mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya menggesa IPTA menerapkan nilai keusahawanan di kalangan pelajar yang menunjukkan minat dalam perniagaan. 

Ditanya mengenai pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abdul Halim mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan penggantungan pengajiannya selama tiga semester, Mohamed Khaled berkata, ia terpulang kepada mahkamah untuk menentukan keputusan yang dibuat Jawatankuasa Rayuan Tatatertib UPSI. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment