My Add

Saturday 30 June 2012

Tak timbul soal BN kurang yakin, kata Najib

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 29 Jun, 2012: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tidak timbul soal Barisan Nasional (BN) kurang yakin menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang berikutan dakwaan pembangkang yang beliau sengaja melambatkan tarikh pilihan raya itu. 

Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN itu menegaskan bahawa BN telah diberi mandat oleh rakyat untuk tempoh lima tahun bagi memperlihatkan kemampuan memimpin dan mentadbir negara serta membawa kemajuan dan membela untung nasib rakyat.

"Kalau kita buat pilihan raya terlalu awal, bererti kita memendekkan tempoh yang rakyat telah berikan kepada kita.

"Jadi tidak timbul soal tidak yakin. Pada kita, yang penting (ialah) untuk menunjukkan kemampuan kita untuk terus membela rakyat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini, malam tadi.

Beliau menarik perhatian bahawa rakyat dilihat memberi sambutan baik terhadap program-program dan pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan demi kebaikan mereka.

Najib berkata ini dapat disaksikan melalui lawatan beliau dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke negeri-negeri.

Menurutnya, ia telah menampakkan sokongan rakyat yang sangat memberangsangkan dan ini mencerminkan tahap keyakinan mereka terhadap BN semakin bertambah.

"Kita tidak boleh takbur, tetapi tahap keyakinan kita adalah berasaskan kepada sambutan rakyat kepada lawatan kita, kepada program-program atas tema 1Malaysia," kata Najib.

Beliau turut merujuk kepada pelbagai produk dan pembaharuan yang diperkenalkan kerajaan melalui inisiatif seperti Program Tranformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Jelajah Janji Ditepati dan sebagainya.

"Kita dah buat, maknanya (keyakinan kita) bukanlah berasaskan kepada sesuatu yang tidak berpaksikan kepada penilaian tertentu yang kita lakukan," katanya.

Najib juga berkata program bersifat bersemuka dengan pelbagai kelompok masyarakat seperti program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA) akan
diteruskan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan anggota BN supaya tidak menimbulkan kenyataan yang boleh menyentuh perasaan mana-mana kaum atau menimbulkan masalah antara parti komponen BN.

Sambil itu Sinar Harian melaporkan Najib menafikan beliau campur tangan dalam urusan pemberian tender projek sambungan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang sebagaimana didakwa oleh PKR baru-baru ini.

BeliU  menegaskan, segala urusan dijalankan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

"Semuanya dilakukan dengan betul. Tidak ada perkara seperti itu," kata beliau. 

PKR pernah mendesak kerajaan memberi penjelasan berhubung pemberian kontrak pembinaan projek tambahan itu kepada sebuah syarikat yang didakwa tidak mempunyai pengalaman.

Pengarah Strateginya, Mohd Rafizi Ramli mendakwa bahawa pemberian kontrak bernilai hampir RM1.1 bilion kepada syarikat tersebut mendapat campur tangan kerajaan.


No comments:

Post a Comment