My Add

Friday 31 May 2013

Contohi kaedah China bendung fitnah di internet

TASEK GELUGOR, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Malaysia perlu belajar dari negara luar seperti China dalam usaha mencari kaedah terbaik menggalakkan penggunaan internet secara berhemah serta tidak menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya (gambar) berkata, kerajaan republik itu dilihat begitu agresif dalam 'mengharamkan' penggunaan laman sosial seperti Facebook dan blog kerana didapati boleh membawa impak negatif kepada pemikiran rakyat serta keharmonian negara.

"Kementerian terbabit juga harus menyediakan maklum balas positif kepada kerajaan mengenai langkah terbaik yang akan diambil bagi mengelak isu ini berterusan sehingga menjadi lebih parah," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan cek kepada penerima dana Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN), di sini hari ini.

Sebanyak RM323,000 disediakan kepada 39 penerima TEKUN dari kawasan Parlimen Tasek Gelugor bagi menjalankan aktiviti keusahawanan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah golongan kurang berkemampuan.

Shabudin menambah, kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia digesa memperketat Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Seksyen 3(3)) bagi membendung laman media sosial digunakan untuk menyebar fitnah serta menimbulkan kekacauan.

Beliau memberitahu, perkara itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh kerana gejala penggunaan internet sebagai medan penyebaran fitnah ketika ini semakin berleluasa.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu melaksana pengawalan berkesan ke atas kandungan laman media sosial yang mampu menggugat kestabilan negara.

"Sudah tiba masanya kerajaan menerusi kementerian yang ada bertindak segera mengatasi perkara ini dengan memperketat akta serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment