My Add

Friday 31 May 2013

Penduduk perlu rujuk Kit Siang

Oleh NURUL HUDA HASSAN

JOHOR BAHRU, KHAMIS, 30 Mei, 2013: MCA Bahagian Gelang Patah mengumumkan peletakan semua jawatan dalam kerajaan negeri yang dipegang ahlinya termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) berkuat kuasa serta-merta.

Sehubungan itu, Ketuanya, Jason Teoh Sew Hock berkata, penduduk Gelang Patah perlu mengemukakan sebarang aduan atau permasalahan mereka kepada Ahli Parlimen baharu kawasan itu yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dipilih dalam pilihan raya umum lalu.

Menurut beliau, peletakan jawatan ahli MCA itu melibatkan tiga Ahli Majlis PBT, lima ketua kampung, seorang pegawai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dua pegawai kebajikan dan enam ahli lembaga pelawat hospital.

Tambahnya, pengumuman itu berikutan keputusan MCA tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan baik di peringkat Pusat mahupun negeri selepas kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Kami menerima keputusan pilihan raya umum lalu dengan hati terbuka. Hari ini, saya mengetuai rakan-rakan lain melepaskan jawatan kami dalam kerajaan seperti keputusan dibuat MCA," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pilihan raya umum lalu, MCA hanya menang di lima kerusi Parlimen iaitu di Tanjung Malim, Labis, Ayer Hitam, Bentong dan Tanjung Piai berbanding 15 kerusi dalam pilihan raya umum 2008.

Jason menegaskan, MCA Bahagian Gelang Patah tidak akan menutup pusat khidmat masyarakat mereka sebaliknya akan terus memberi perkhidmatan kepada rakyat selagi diperlukan.

Walau bagaimanapun, kata beliau, bantuan itu tidak dapat diberikan seperti sebelum ini memandangkan mereka kini tidak lagi memegang sebarang jawatan.

"Kita juga akan cuba mencari pendekatan lain untuk masyarakat di sini dan kita akan susun dalam masa terdekat," ujarnya.

Dalam pada itu, Jason yakin MCA sudah memberi perkhidmatan terbaik di kawasan tersebut sekali gus berharap DAP mampu memberi khidmat setanding dengan parti berkenaan demi kebaikan masyarakat setempat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment