My Add

Friday, 31 May 2013

Harapan keluarga pemotong balak bertukar duka

 *ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berserta Jabatan Pertahanan Awam mengangkat mayat Tujok Lah yang ditemui berdekatan Rumah Panjang Uma Tevok, Belaga, Sarawak, semalam.
BELAGA, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Perasaan lega keluarga seorang pemotong balak, Tujok Lah yang dikatakan antara penumpang terselamat dalam tragedi bot ekspres karam kelmarin bertukar duka apabila lelaki itu merupakan mayat pertama mangsa yang ditemukan pagi ini.

Tujok, 44, berasal dari Rumah Panjang Skeing, Nanga Merit, Kapit mulanya disenaraikan sebagai penumpang yang terselamat namun tidak mengirim sebarang berita menyebabkan ahli keluarga bertindak membuat laporan polis semalam.

Adiknya, Yong Lah, 40, berkata, penemuan mayat itu amat menyedihkan mereka sekeluarga kerana menyangka Tujok benar-benar terselamat dalam tragedi itu.

"Abang baru tiga bulan bekerja di sebuah kem balak di Bakun. Sebelum mendiang bertolak ke kem, dia berjanji akan pulang ke rumah panjang untuk menyambut Hari Gawai.

"Sekarang Hari Gawai yang akan disambut lusa sudah tidak bererti buat kami. Saya sedih kerana kehilangan seorang abang, manakala isteri dan enam anak mendiang sudah hilang tempat bergantung," katanya.

Yong yang ditemani beberapa saudara lain ditemui pemberita ketika menunggu proses bedah siasat ke atas mayat Tujok selesai di Klinik Kesihatan Belaga di sini.

Sementara itu, abang ipar mangsa, Philip Duren, 42, yang turut menaiki bot ekspres tersebut bersama mangsa dan 17 lagi rakan dari Rumah Panjang Skeing hairan apabila mendapat tahu mangsa dikatakan terselamat.

"Sebelum kejadian, kami antara penumpang yang duduk di atas bumbung dan sebaik sahaja bot mulai karam, kami terus terjun ke dalam sungai. Selepas kami semua dapat berkumpul semula, Tujok didapati hilang.

"Kebimbangan kami rupa-rupanya berasas apabila dia disahkan terbunuh," katanya yang juga rakan sekerja Tujok.

Mayat Tujok ditemukan sempurna dan lengkap berpakaian terapung di sungai oleh penduduk tempatan pada pukul 7.30 pagi ini berdekatan Rumah Panjang Uma Tevok, kira-kira dua kilometer dari lokasi tragedi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment