Xavier Jayakumar, Yaakob Sapari, Hannah Yeoh |
KLANG, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Sebanyak 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor mengangkat sumpah jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri hari ini dengan Pas mendominasi keanggotaan pentadbiran kerajaan negeri menerusi empat wakil Exco manakala DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing tiga wakil.
Ketiga-tiga parti pakatan pembangkang masing-masing mempunyai Exco muka baharu dengan tujuh orang Exco sedia ada dikekalkan jawatan, manakala dua lagi iaitu ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari; Dr. Xavier Jayakumar (ADUN Seri Andalas), kedua-duanya daripada PKR digugurkan.
Istiadat pengurniaan watikah pelantikan dan mengangkat sumpah dilakukan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah di sini.
Sebagaimana Menteri Besar, kesemua Exco tersebut turut mengangkat sumpah dan membaca aku janji sambil memegang lembing Sembuana bersalut kain kuning.
ADUN Pas yang mengangkat sumpah ialah Iskandar Abdul Samad (Chempaka), Dr. Halimah Ali (Selat Klang), Dr. Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) dan Sallehen Mukhyi (Sabak) yang merupakan Exco muka baharu.
ADUN DAP pula ialah Datuk Teng Chang Khim yang sebelum ini Speaker DUN selain Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan) yang kekal sebagai Exco untuk penggal kedua dan muka baharu, V. Ganabatirau (Kota Alam Shah).
Sementara itu, ADUN PKR yang mengangkat sumpah ialah Rodziah Ismail (Batu Tiga), Elizabeth Wong (Bukit Lanjan) dan muka baharu, Dr. Daroyah Alwi (Sementa).
Dengan upacara itu, semua spekulasi mengenai pelantikan Exco negeri berjaya ditamatkan dengan menyaksikan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali (Bukit Antarabangsa) yang sebelum ini mempertikai tindakan partinya yang hanya menyenaraikan nama Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar turut tidak tersenarai dalam barisan Exco baharu.
Selain itu, Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Abdul Rani Osman turut tidak dipilih sebagai anggota Exco negeri.
Abdul Khalid dalam sidang akhbar selepas upacara berkenaan pula mengumumkan, ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh, 34, daripada DAP dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menggantikan Chang Khim sekali gus menjadi Speaker DUN wanita pertama dan dipercayai termuda di negara ini.
ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, 31, daripada PKR pula dipilih sebagai Timbalan Speaker DUN menggantikan Haniza Mohd. Talha (Taman Medan) yang digugurkan.
Kedua-duanya akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Menteri Besar dan semua ADUN dalam sidang DUN yang dijadualkan berlangsung bagi tujuan itu pada 21 Jun ini.
Dalam pada itu, Abdul Khalid mengumumkan beliau akan memegang portfolio Kewangan, Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam (Pemutihan Kilang Haram), Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (Pelaburan, Pembangunan Desa dan Pelancongan), Penerangan dan Adat Melayu.
Beliau turut menamakan Iskandar sebagai Exco kanan yang kekal memegang portfolio Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar (dahulu disebut Setinggan) manakala Dr. Halimah kekal menjawat portfolio Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.
Seorang lagi Exco kanan iaitu Chang Khim yang juga ADUN Sungai Pinang, memegang portfolio Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan yang sebelum ini disandang Ronnie Liu.
Dr. Ahmad Yunus kekal memegang portfolio Belia dan Sukan selain mengambil alih jawatankuasa tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam yang sebelum ini dipegang Menteri Besar.
Hian Wah pula mengambil alih portfolio yang sebelum ini dipegang Teresa Kok iaitu Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan selain kekal menerajui jawatankuasa tetap Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram.
Ganabatirau yang merupakan satu-satunya wakil masyarakat kaum India diberikan portfolio Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin yang sebelum ini dipegang Xavier.
Terdahulu, dalam ucapannya, Abdul Khalid mengulangi ikrar aku janjinya memastikan kesucian agama Islam sentiasa dilindungi dan dengan sedaya upaya menghalang mana-mana pihak yang berhasrat mencemari kesucian agama Islam yang merupakan agama rasmi negeri ini.
"Patik hamba tua juga akan memastikan hak dan kepentingan orang Melayu di negeri ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sentiasa terjamin dan tidak diganggu-gugat mana-mana individu, kumpulan mahupun puak sama ada dari dalam atau luar negara.
"Pada masa sama patik berusaha melindungi hak dan kepentingan yang dimiliki kaum-kaum lain di negeri ini agar negeri Selangor menjadi negeri yang harmoni diduduki oleh semua kaum,'' katanya.
Dalam pada itu, sidang pertama Dewan Undang Negeri Selangor akan diadakan 28 Jun ini dan dirasmikan Sultan Sharafuddin. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment