My Add

Thursday 30 May 2013

Najib ucap takziah kepada keluarga mangsa bot ekspres karam
 
BELAGA, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan jemaah menteri mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa tragedi bot ekspres karam di Jeram Tukok-Jeram Bungan, di Sungai Rajang, Selasa lalu.

Ucapan takziah itu disampaikan menerusi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim, yang berkata perdana menteri dan anggota Kabinet bersedih dengan tragedi itu.

"Semalam dalam mesyuarat mingguan Kabinet, perdana menteri begitu sedih dengan kejadian itu dan oleh yang demikian beliau mengarahkan saya untuk datang (hari ini) sebagai wakil kerajaan Persekutuan," katanya di pusat operasi gerakan mencari di sebuah pulau di tengah Sungai Rajang di sini, hari ini.

Terdahulu ketika di pekan Belaga, beliau mengikuti taklimat di bilik gerakan dan akan mengemukakan laporan kepada menteri yang menjaga hal ehwal Majlis Keselamatan Negara, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk melihat keperluan lain dalam operasi dan menyelamat.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kawasan Belaga Liwan Lagang dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, SAC Datuk Law Hong Soon.

Rohani mengumumkan sumbangan RM1,500 daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) kepada setiap keluarga mangsa yang dijumpai dan disahkan meninggal dunia.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM300 sehari juga daripada YKN berupa sardin, mi segera, tong gas, dan beras untuk tujuan memasak ketika gerakan mencari dan menyelamat dijalankan, selain sumbangan peribadi RM3,000 bagi keperluan operasi dan menyelamat yang kini memasuki hari ketiga.
Pada majlis sama, beliau menyerahkan sumbangan RM10,000 masing-masing kepada Rumah Panjang Uma Tevok dan Rumah Panjang Uma Tanjong yang membantu menempatkan mangsa bot karam yang terselamat.

Sementara itu, Jabu yang mewakili kerajaan Sarawak berkata, persidangan Dewan Undangan Negeri yang diadakan semalam berjaya mengumpul RM80,000 untuk tabung mangsa bot ekspres karam itu.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah daripada Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta seluruh rakyat Malaysia kepada keluarga mangsa tragedi itu.

Selain itu, Jabu mencadangkan supaya MKN menyediakan perancangan luar jangka andainya tempoh gerakan mencari dan menyelamat terpaksa dilanjutkan sehingga lebih dari satu minggu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment