My Add

Thursday 30 May 2013

Najib arah siasatan terperinci tragedi bot ekspres karam

KUALA LUMPUR , KHAMIS, 30 Mei, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca tragedi bot ekspres karam di Sungai Rajang, Sarawak pada Selasa lalu.

Beliau juga menyeru semua pengendali perkhidmatan feri supaya sentiasa bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan bagi mengelak kejadian itu berulang.

"Saya sudah mengarahkan supaya satu siasatan terperinci mengenai tragedi itu dibuat dan saya seru kepada semua pengendali feri supaya sentiasa bertanggungjawab," katanya dalam laman Facebook beliau hari ini.

Sambil melahirkan rasa sedih dengan tragedi tersebut, perdana menteri berkata seluruh rakyat Malaysia turut bersimpati dengan keluarga mangsa yang maut dalam kejadian itu.

Menurutnya rakyat Malaysia juga sentiasa mendoakan keselamatan semua pihak.

Najib turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam operasi menyelamat mangsa tragedi itu.

Dalam kejadian itu, bot ekspres Kawan Mas yang dipercayai membawa lebih 200 penumpang dalam perjalanan dari Bakun ke Kapit, karam selepas terlanggar batu di Jeram Tukok/Jeram Bungan antara 8.30 pagi dan 9 pagi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment