My Add

Friday 31 May 2013

Pucuk pimpinan UMNO negeri dijangka berubah

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan bermesyuarat buat pertama kali esok selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang menyaksikan pencapaian parti itu meningkat apabila berjaya memenangi 88 kerusi Parlimen.

Namun, di sebalik peningkatan pencapaian tersebut, UMNO turut terpalit dengan isu kegagalan menawan kembali Kelantan yang terlepas ke tangan Pas sejak 1990 selain mencatat prestasi terburuk di Selangor.

Malah selaku parti tunjang Barisan Nasional (BN), UMNO tidak terkecuali terkena tempias kemerosotan sokongan pengundi Cina sehingga BN hanya menang 133 kerusi Parlimen iaitu merosot tujuh kerusi berbanding 2008.

Utusan Malaysia dimaklumkan antara intipati mesyuarat MT UMNO kali ini adalah memberi tumpuan kepada bedah siasat awal keputusan pilihan raya umum lalu.

Selain itu, dijangkakan berlaku perubahan pucuk kepimpinan UMNO di beberapa negeri tertentu khususnya yang mencatat prestasi buruk pada pilihan raya umum lalu termasuk kedudukan pengerusi dan timbalan pengerusi perhubungan.

Antara negeri yang dijangka bakal berlaku rombakan pucuk kepemimpinan adalah Selangor apabila UMNO negeri itu hanya berjaya memenangi 12 kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu merosot daripada 20 kerusi pada 2008.

Perkara lain yang dijangka dibincangkan oleh MT adalah mengenai tindakan tatatertib ke atas pemimpin serta ahli UMNO yang bertindak melakukan sabotaj ke atas calon parti berkenaan ketika kempen pilihan raya umum lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment