My Add

Friday 31 May 2013

Dunia perlu ikut Malaysia beri vaksin percuma

 *MARY Mwende (dua dari kanan), bekas Penasihat, Kesihatan & HIV/Aids Ghana, Fred Sai (kanan) dan bekas Presiden Finland, Tarja Halonen (dua dari kiri) pada sidang akhbar semasa persidangan Global Women Deliver di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Inisiatif Malaysia memberikan suntikan vaksin Human Papiloma Virus (HPV) secara percuma kepada golongan wanita dan kanak-kanak perempuan dalam mencegah penyakit barah pangkal rahim perlu dicontohi oleh setiap negara di dunia ini.

Sambil memuji langkah itu, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Global Give Back Circle, Mary Mwende berkata, usaha murni tersebut jelas membuktikan Malaysia tidak memandang remeh mengenai isu kesihatan rakyatnya.

Sehubungan itu, bagi memastikan lebih ramai wanita di dunia menikmati manfaat tersebut, beliau berkata, usaha perlu dilanjutkan secara meluas di negara-negara sedang membangun terutamanya di benua Afrika selaras bagi meningkatkan tahap kesihatan golongan sasar.

"Apabila mengetahui Malaysia memberikan suntikan pelalian HPV secara percuma, sekali gus membuat saya terfikir kenapa tidak negara-negara lain mencontohi dan mengalu-alukan transformasi positif dalam meningkatkan akses kepada kesihatan reproduktif itu.

"Di Kenya, saya terpaksa membayar sehingga AS$100 (RM300) untuk mendapatkan pelalian itu justeru, saya berharap agar di masa hadapan seluruh negara dapat mengimplementasikan pendekatan sama bagi memastikan hak seluruh wanita terhadap kesihatan terbela," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang akhbar berkenaan Menuju Tahun 2015 pada hari terakhir Persidangan Global Women Deliver 2013 di sini hari ini.

Malaysia menjadi negara pertama Asia diberi penghormatan menganjurkan persidangan yang sebelum ini diadakan di London dan Washington D.C. itu bagi membincangkan isu-isu berkaitan kesihatan dan kesejahteraan gadis dan wanita.

Dalam perkembangan lain, bekas Presiden Finland, Tarja Halonen berkata, ahli masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kedudukan wanita bukan sahaja unggul di mata dunia, malah berada di landasan terbaik menjelang 2015.

Menurut beliau, suara wanita perlu didengari serta disokong penuh oleh pelbagai NGO menerusi penekanan kepada aspek-aspek termasuk rangsangan ekonomi, menstabilkan masyarakat, memajukan kesejahteraan keluarga, akses kepada perkhidmatan kesihatan reproduktif dan pembasmian kemiskinan.

"Keprihatinan kepada nasib, masa depan kanak-kanak dan wanita wajar dijadikan agenda global. Ini merupakan masa yang tepat untuk kita melabur terhadap anak gadis dan wanita.

"Antara usaha utama yang perlu difokuskan adalah memperbetulkan persepsi mengenai isu-isu wanita dan saya melihat bantuan media sosial dapat dijadikan platform terbaik dalam menyalurkan maklumat tepat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment