My Add

Friday, 31 May 2013

Peniaga degil berdepan tindakan

Oleh RADHUAN HUSSAIN

KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana peniaga khususnya pengusaha kedai makan yang mengenakan harga tidak munasabah sehingga membebankan pengguna.

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, dalam masa sama, pihaknya tidak menolak kemungkinan terpaksa mencari jalan lain termasuk mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pertanian menyediakan permit import (AP) bagi membawa masuk barangan basah dari negara jiran.

Menurutnya, langkah itu akan diambil sekiranya peniaga masih berdegil dan enggan mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan di bawah akta berkaitan kepenggunaan.

"Jika peniaga terus berdegil, saya akan berunding dengan Kementerian Pertanian, kita mahu kepentingan rakyat mesti didahulukan. Kalau harga lada naik, kita import lada dari Thailand dan kita buat begini bukan niat untuk mengugut peniaga, tetapi mahukan sokongan semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan 2013 kelima di Pantai Batu Buruk, di sini hari ini. Sambutan itu berlangsung tiga hari sehingga 1 Jun ini.

Hasan mengulas rungutan orang ramai berhubung harga makanan melampau yang dikenakan peniaga khususnya pengusaha kedai makan termasuk di Terengganu sehingga meresahkan pengguna.

Menurutnya, pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri untuk bersama-sama mengemukakan pandangan serta idea dalam usaha menangani masalah tersebut demi kepentingan rakyat.

Beliau turut memberi jaminan pihaknya akan sentiasa turun padang membuat pemantauan dari semasa ke semasa sekiranya menerima aduan pengguna berhubung sikap keterlaluan peniaga.

Terdahulu itu, dalam ucapannya, Hasan berkata, kementerian tersebut menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksana program kepenggunaan supaya usaha menyalur maklumat dan pendidikan kepenggunaan lebih kemas dan sistematik.

Menurutnya, pelaksanaan program mentor-mentee akan dipergiat yang NGO pengguna menjadi mentor kepada NGO bukan pengguna dalam melaksana program pendidikan kepada ahli.

Hasan berkata, pengguna juga dapat menggunakan kemudahan dan infrastruktur yang disediakan NGO pengguna seperti Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk membuat aduan, menyalurkan maklumat dan khidmat nasihat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment