Jabatan Penjara sasar capai 100 peratus pemulihan ke atas banduan
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Jabatan Penjara Malaysia menyasarkan untuk mencapai 100 peratus tahap pemulihan ke atas banduan sekali gus mengelakkan banduan dikenakan hukuman berulang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini, tahap pemulihan ke atas banduan adalah sekitar 94 peratus dan bagi tujuan tersebut, Jabatan Penjara akan menilai semula modul pemulihan sedia ada.
Selain itu, kata beliau, strategi lautan biru antara Jabatan Penjara dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dipertingkatkan lagi kerana kerjasama sebelum ini ternyata berkesan dalam membantu pemulihan ke atas banduan.
Kita tidak mahu penjara hanya bertindak sebagai pelaksana hukuman tetapi aspek kemanusiaan dari segi pemulihan itu juga mesti diberi perhatian agar tidak berlaku jenayah berulang melibatkan banduan selepas habis tempoh hukuman.
Hasrat kita, apabila banduan ini berada dalam masyarakat, mereka diterima oleh masyarakat dan tidak berasa kekok menjadi orang baru selepas keluar penjara," katanya selepas melawat Kompleks Penjara Kajang, di sini hari ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment