My Add

Friday, 31 May 2013

Dakwat kekal: 33 laporan dibuat

Oleh ZULHISHAM ISAHAK

MUAR, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Sebanyak 33 laporan polis dibuat oleh wakil dan Pengerusi Pusat Mengundi Daerah (PDM) Parlimen Muar hari ini bagi menggesa siasatan terhadap dalang yang berterusan mengeksploitasi isu penggunaan dakwat kekal untuk memburukkan sistem Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu.

Semua laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan Balai Polis Parit Jawa di sini yang diketuai Pengarah Jentera PRU-13 Parlimen Muar, Datuk Mohd. Ismail Mohd. Shah yang juga Ketua UMNO Bahagian.

Mohd. Ismail ketika ditemui berkata, tindakan pihak yang mempertikaikan penggunaan dakwat kekal itu jelas mempunyai agenda bagi memastikan rakyat terutama pengundi tidak berpuas hati dan merasakan proses demokrasi itu berlangsung secara tidak telus atau jujur.

"Kita minta polis menjalankan siasatan untuk mengenal pasti serta menangkap penghasut-penghasut yang telah menggunakan sebahagian kecil rakyat sebagai boneka untuk memenuhi nafsu serakah mereka bertujuan menjahanamkan kestabilan negara ini.

"Jika pembangkang terus memainkan isu dakwat kekal untuk kepentingan politik, segala usaha keras dan kredibiliti SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) selama ini tidak akan dihargai. Jangan salahkan dakwat kekal bila kalah, Barisan Nasional (BN) tidak timbulkan isu tersebut pun apabila kalah," katanya.

Katanya, pembangkang perlu bermuhasabah diri serta menerima kenyataan bahawa rakyat tidak mahukan mereka dan bukan mencari alasan atau cuba meraih simpati dengan isu berkenaan.

Sementara itu, seorang pengundi yang membuat laporan di IPD Muar, Melan Rahmat, 50, dari Jalan Junid menyangkal dakwaan pembangkang bahawa dakwat kekal boleh hilang dalam masa singkat kerana tidak semuanya begitu.

Dia yang mengundi di Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar berkata, dakwat kekal di jari telunjuk tangan kirinya tidak dapat dipadamkan dan melekat sehingga empat hari kemudian.

Yunos Abdul Rahman, 65, dari Semerah, pengundi di Pusat Mengundi Sarang Buaya Laut dekat sini turut membuat laporan di IPD Muar menyangkal dakwaan pihak berkenaan dan percaya isu itu dimainkan kerana punya tujuan tertentu.

"Kita mahu tahu apa niat sebenar pihak berkenaan membangkitkan isu ini. Pengalaman saya dengan dakwat kekal, ia memang tidak boleh dihilangkan selama lima hari. Dalam hal ini, kita minta pembangkang lebih bertanggungjawab," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment