My Add

Friday, 31 May 2013

Sultan Selangor: Usah berlengah tunaikan manifesto

Oleh HELMI MOHD. FOAD

 *SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan bergambar bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Selangor yang baru dilantik selepas majlis mengangkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Istana Alam Shah, Klang, Selangor, semalam. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saib
KLANG, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyifatkan manifesto yang dibuat sesebuah parti politik adalah janji dan baginda menitahkan ia dilaksana tanpa berlengah.

Malah, baginda turut menitahkan parti yang dipilih rakyat untuk memerintah negeri itu menunaikan manifesto mereka dalam pilihan raya umum lalu dengan adil serta saksama berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Sehubungan itu, titah baginda, adalah amat penting manifesto tersebut ditunaikan memandangkan rakyat menaruh harapan penuh untuk menikmati sebuah negeri yang aman makmur dalam suasana penuh harmoni.

"Rakyat sekarang bijak dan pandai menilai serta mengetahui kehendak dan keperluan mereka.

"Oleh itu, Ahli-ahli Yang Berhormat yang dilantik (Exco) hendaklah berhati-hati dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab dan tidak sama sekali cuba mengelirukan rakyat negeri ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Selangor di Istana Alam Shah, Klang, di sini hari ini.

Terdahulu, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik sebagai Exco mengangkat sumpah jawatan di hadapan baginda.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, Ahli-ahli Dewan Diraja dan ketua-ketua agensi kerajaan negeri.

Sultan Selangor bertitah, semua anggota pentadbiran kerajaan negeri perlu mengendalikan tanggungjawab mereka secara intelektual, bukan secara emosi dengan mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri berbanding kepentingan diri atau parti masing-masing.

Baginda turut menitahkan semua Exco menjalankan tugas berpandukan peraturan dan undang-undang yang telah digariskan dan tidak sesekali melanggarnya serta membuat sesuatu mengikut kehendak hati semata-mata.

"Jauhkan diri daripada rasuah yang mana jika gejala itu jika diamalkan akan menjatuhkan maruah dan imej seseorang itu dan juga boleh merosakkan negeri Selangor.

"Rakyat juga amat benci dengan pemimpin yang terlibat dalam gejala rasuah," titah baginda.

Selain itu, Sultan Sharafuddin mengingatkan wakil-wakil rakyat negeri itu sentiasa mendampingi rakyat bagi mengetahui kehendak dan keperluan mereka.

"Janganlah apabila memerlukan undi, Ahli-ahli Yang Berhormat menjanjikan bulan dan bintang serta sanggup melawat hingga ke dapur rumah mereka tetapi apabila telah mendapat undi dan memperoleh kemenangan, kelibat Ahli-ahli Yang Berhormat sekelian tidak kelihatan.

"Beta tidak berkenan mereka yang telah mendapat mandat mengambil kesempatan untuk memperoleh sesuatu demi kepentingan diri," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Selangor menitahkan ahli-ahli politik daripada parti-parti yang bertanding berbaik-baik semula dan bekerjasama serta menumpukan tenaga membina kemakmuran negeri Selangor untuk generasi akan datang.

Baginda turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada polis dan tentera yang berjaya mengawal, menjaga serta mengekalkan keamanan semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 sehingga berjalan dengan selamat.

"Tidak lupa juga beta mengucapkan syabas kepada agensi-agensi lain yang turut menyumbangkan tenaga membantu kelancaran proses pilihan raya ini seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Kesihatan yang bersiap sedia menghadapi perkara-perkara yang tidak diingini jika berlaku," titah baginda. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment