My Add

Friday 31 May 2013

Pinda dasar afirmatif industri keluli

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Kerajaan diminta meminda dasar afirmatif industri yang dilihat bukan sahaja menyebabkan kerugian teruk kepada syarikat pengeluar keluli gelung sejuk (Cold Rolled Coils atau CRC) tunggal bumiputera, Mycron Steel CRC Sdn. Bhd. (Mycron) malah keseluruhan industri besi negara.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, 'perlindungan' kerajaan terhadap pengeluar tunggal keluli gelung panas (Hot Rolled Coils atau HRC), Megasteel Sdn. Bhd. (Megasteel) adalah dipersoalkan, apatah lagi Megasteel turut dibenarkan menjadi pengeluar CRC.

Katanya, dasar afirmatif yang memberi keistimewaan kepada Megasteel perlu dipinda supaya harga HRC dan CRC tempatan sentiasa terkawal dan memastikan industri besi negara semakin berdaya saing.

Beliau berkata, amalan kini yang menyaksikan pengeluar CRC tempatan 'terpaksa' membeli 50 peratus bekalan HRC daripada Megasteel dan mengimport 50 peratus lagi HRC luar merupakan monopoli serta merugikan penggiat industri itu.

"Jelas sekali dasar afirmatif ini merugikan pengeluar tunggal CRC bumiputera sedangkan dasar afirmatif kerajaan sebenarnya bertujuan memberi perlindungan kepada syarikat-syarikat bumiputera dan Melayu.

"Kita bukan irihati dengan Megasteel, jauh sekali untuk menjadi rasis tetapi keadaan ini pasti merencatkan perniagaan Mycron dan paling dirisaukan penglibatan syarikat bumiputera dalam sektor CRC bakal pupus," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

HRC merupakan bahan utama dalam pengeluaran CRC iaitu sektor pembuatan besi nipis.

Mycron pula merupakan anak syarikat Melewar Industrial Group Bhd. (Melewar).

Ibrahim mengulas keluhan Mycron seperti didedahkan akhbar ini 14 Mei lalu yang bimbang mereka mungkin terpaksa gulung tikar setahun lagi ekoran manipulasi harga HRC oleh Megasteel selaku pengeluar tunggal HRC di negara ini.

Pengarah Urusan Melewar, Azlan Abdullah dalam sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan pada 20 Mei lalu pula mendakwa Megasteel bersaing secara tidak adil dalam industri itu apabila turut mengeluarkan CRC di negara ini.

Difahamkan, Megasteel yang merupakan syarikat di bawah Lion Group menikmati keistimewaan perlindungan kerajaan sejak krisis kewangan Asia 1997/1998 selepas menanggung kerugian lebih RM10 bilion. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment