*HASAN Malek (tengah), Ahmad Bashah Md. Hanipah (dua dari kanan), Saripuddin Kasim (kiri) dan Roslee Daud (dua dari kiri ) merasmikan Bulan Pengguna Kebangsaan 2013 di Kuala Terengganu, semalam. - Utusan/Shaifudin Mohd. Nor |
Kemuncak sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan kali kelima itu berlangsung di Pantai Batu Buruk di sini, selama tiga hari bermula hari ini dengan majlis pelancarannya disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek.
Yang turut hadir, Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Roslee Daud mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Saripuddin Kasim.
Dalam ucapannya, Hasan berkata, program dan aktiviti kepenggunaan itu yang disediakan kementeriannya sepanjang Mei ini di semua negeri melibatkan pelbagai kumpulan sasar termasuk pelajar, mahasiswa, belia, wanita dan pengamal media.
Menurutnya, Bulan Pengguna Kebangsaan kali ini menjadikan enam teras sebagai fokus utama iaitu pendidikan, reach out, interaktif, aktiviti fun and healthy, pengiktirafan dan memperkenal peranan kementerian tersebut kepada masyarakat.
"Tahun ini adalah tahun kelima penganjurannya dengan tema Kuasa Pengguna: 1 Pengguna 1 Suara.
"Tema ini dirasakan amat signifikan kerana sinonim dengan konsep perpaduan yang menekankan kepada perlunya pengguna bersatu dalam menyuarakan hasrat atau tindakan secara kolektif," katanya.
Menurut Hasan, sambutan program itu turut membawa slogan Hak Pengguna Tanggungjawab Anda dalam hasrat pihaknya mendidik pengguna menterjemah tindakan dalam memperjuang hak sebagai pengguna.
Sementara itu, dalam majlis perasmian tersebut, orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal antaranya Leez AF4, Farawaheeda dan Alya.
Hasan turut menyampaikan hadiah kepada pemenang lima anugerah sempena sambutan itu iaitu Anugerah Kelab Pengguna Sekolah (KPS), Anugerah Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Anugerah Gerakan Pengguna Daerah (GPD), Anugerah Pembantu Hal Ehwal Pengguna Daerah (PHEPD) dan anugerah pertama kali diperkenalkan, Anugerah Skuad Pengguna (SP).
Bagi anugerah KPS, johan menjadi milik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Onn, Butterworth, Pulau Pinang manakala Anugerah GPS pula menjadi milik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak.
Johan bagi anugerah SP pula disandang Allahyarham Ismail Abd. Aziz dari Selangor.
Kesemua pemenang menerima hadiah wang tunai RM3,000 serta trofi dan sijil penghargaan bagi setiap kategori. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment