MELAKA, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Polis percaya mayat remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditemui di kawasan pembuangan sampah di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek di sini semalam, adalah mangsa bunuh.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Melaka Superintendan P.R.Gunarajan berkata, walaupun tiada kesan kecederaan fizikal pada mayat Aimi Hamizah Mohamad, polis percaya kes itu ada unsur bunuh kerana mayat ditinggalkan di kawasan semak dan terpencil.
"Kita akan siasat kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kita percaya mangsa telah meninggal dunia lebih 24 jam (sebelum mayatnya ditemui)," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Katanya, punca sebenar kematian gadis itu hanya akan diketahui selepas bedah siasat yang akan dijalankan esok di Hospital Besar Melaka.
Proses bedah siasat terpaksa ditangguh kerana perlu menunggu pakar dari Hospital Kuala Lumpur, katanya.
Mayat Aimi Hamizah ditemui sekumpulan remaja kampung itu yang dalam perjalanan pulang selepas bermain bola sepak di padang berhampiran lokasi kejadian kira-kira jam 7 malam semalam.
Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Ayer Molek itu dilapor hilang selepas gagal pulang ke rumahnya di Taman Desa Molek, di sini Isnin lepas, selepas keluar untuk ke kelas mengaji al-Quran kira-kira jam 7.40 malam.
Mayat anak perempuan tunggal daripada tiga beradik itu ditemui lengkap berpakaian dalam keadaan terlentang di atas sekeping papan lapis di tapak pembuangan sampah tersebut, empat kilometer dari rumahnya.
Sementara itu, ayah mangsa Mohamad Sahak, 58, berkata anak bongsunya itu keluar dari rumah selepas berbuka puasa pada Isnin lepas, untuk ke kelas mengaji al-Quran yang tidak jauh dari rumah mereka.
Bagaimanapun, Mohamad berkata, anaknya tidak pulang ke rumah seperti biasa pada pukul 9 malam, menyebabkan beliau mencari Aimi Hamizah di rumah guru kelas al-Quran berkenaan.
"Saya dimaklumkan guru mengajinya bahawa Hamizah datang untuk mengaji tapi pulang selepas dimaklumkan kelas tersebut dibatalkan," kata pekerja kilang lebur besi di Merlimau, Jasin itu.
Beliau dan anak lelakinya, Abu Sufian, 17 serta jiran dan rakan mereka bertindak mencari Aimi Hamizah namun gagal sebelum membuat laporan di Balai Polis Tiang Dua.
Kira-kira jam 7 malam semalam, polis datang ke rumah meminta kami membuat pengecaman terhadap mayat seorang remaja perempuan yang ditemui di kampung bersebelahan, katanya.
Menurut Mohamad, pengecaman itu dilakukan isterinya Maimunah Ismail, 44, dan anak lelaki mereka.
"Kami terkejut namun reda dan berharap polis dapat menahan siapa yang melakukan perbuatan ini dengan segera. Saya hendak tahu siapa yang tergamak melakukan perbuatan kejam ini," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment