Rakyat Sabah harus syukuri nikmat keamanan kekal bersatu-padu
PENAMPANG, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman meminta seluruh rakyat mensyukuri nikmat kestabilan, keamanan dan kemakmuran yang terpelihara untuk kekal bersatu-padu bagi memajukan negeri ini di semua peringkat.
Sehubungan itu, Musa berkata semua rakyat harus menginsafi nikmat itu yang bukan sesuatu yang wujud secara semula jadi, sebaliknya hasil usaha dan pengorbanan pemimpin, kerajaan dan seluruh lapisan rakyat sejak dahulu hingga kini.
"Secara tradisinya, sambutan Pesta Kaamatan yang diadakan oleh masyarakat Kadazan Dusun dan Murut adalah untuk melahirkan rasa syukur terhadap hasil tuaian padi dan memperingati pengorbanan Puteri Huminodun yang sanggup dijadikan korban bagi menyelamatkan kaumnya daripada kebuluran serta memulihkan semula keadaan bumi pada ketika itu.
"Kedua-dua peristiwa ini memberikan pengajaran dan mesej penting kepada kita pada hari ini akan pentingnya untuk kita sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan Tuhan kepada kita dan negeri Sabah pada keseluruhannya," katanya dalam teks ucapan pada majlis penutupan perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah di Hongkod Koisaan, dekat sini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2013, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Beliau berkata, semua pihak perlu sentiasa memelihara dan mengukuhkan semangat perpaduan, muhibah dan persefahaman agar sentiasa teguh dan berakar umbi dalam masyarakat serta tidak mampu diganggu-gugat oleh anasir dan golongan yang tidak bertanggungjawab.
"Persefahaman, penglibatan dan komitmen suku kaum dan etnik yang lain dalam menjayakan perayaan ini melalui persembahan-persembahan tarian kebudayaan dan pameran seperti pakaian, muzik, tarian dan makanan tradisi bukan sahaja mengeratkan lagi silaturahim bahkan membolehkan kita lebih memahami, mengenali dan menerima secara terbuka warisan dan khazanah yang harus kita pelihara bersama," katanya.
Justeru, Musa berharap semangat perayaan Pesta Kaamatan akan terus dihayati sebagai pencetus inspirasi dan kekuatan kepada rakyat untuk bersatu padu dan mengukuhkan semangat perpaduan bagi menjamin kestabilan, keamanan dan kemakmuran untuk seluruh rakyat di Sabah.
Majlis penjutup Pesta Kaamatan itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dengan upacara simbolik memalu gong sebanyak tujuh kali.
Turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana dan Kordinasi, Datuk Dr Maximus Ongkili; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin, menteri-menteri kabinet negeri dan persekutuan dari Sabah. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment