*TIMBALAN Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang (berdiri tengah) berucap ketika meninjau pusat operasi berhampiran dengan lokasi bot ekspres Kawan Mas yang karam Selasa lepas. Turut hadir Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim (duduk, dua dari kiri). |
Mayat Tujok Lah, 44, berasal dari Rumah Panjang Skeing, Nanga Merit di Kapit ditemukan terapung dalam keadaan sempurna dan lengkap berpakaian oleh seorang penduduk tempatan kira-kira pukul 7 pagi ini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Bakar Sebau berkata, identiti mangsa dikenal pasti berdasarkan kad pengenalan dalam dompet yang dijumpai bersama mayat serta disahkan ahli keluarganya yang membuat pengecaman.
"Punca sebenar kematian masih disiasat dan mayat mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Belaga untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Bakar berkata, Tujok sebelum ini tersenarai sebagai antara penumpang yang terselamat daripada nahas.
Katanya, kekeliruan berlaku kerana polis berdepan kesulitan mengenal pasti penumpang terselamat dan penumpang yang hilang memandangkan pengusaha bot tidak merekodkan senarai nama kesemua penumpang.
"Ada yang disangka hilang telah melapor diri di balai polis, malah ada juga pengadu baru melaporkan kehilangan ahli keluarga masing-masing.
"Setakat ini, berdasarkan senarai pada saya, jumlah penumpang terselamat 197 manakala tujuh lagi dilaporkan masih hilang," katanya.
Bakar berkata, sebuah tongkang tiba di lokasi tragedi petang ini untuk membantu pasukan penyelamat menarik dan mengangkat bangkai bot ekspres yang karam sebelum para penyelam mencari mangsa yang terperangkap.
Bagaimanapun petang ini dimaklumkan, tongkang itu gagal menarik keluar bot tersebut berikutan arus deras. Operasi mencari itu ditamatkan pukul 6 petang dan akan disambung pukul 7 pagi esok.
Kata beliau lagi, air dari Empangan Hidroelektrik Bakun telah dilepaskan untuk meningkatkan paras air sungai bagi memudahkan kerja-kerja mengangkat bangkai bot.
"Penduduk di sekitar sungai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga kerana selain paras air naik, arus juga menjadi lebih deras," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment