My Add

Friday 31 May 2013

GST: Guan Eng diselar cuba kelirukan rakyat

 Lim Guan Eng, Tan Chuan Hong

PULAU PINANG, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Barisan Nasional (BN) negeri membidas Ketua Menteri, Lim Guan Eng kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung cadangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak tujuh peratus berikutan perkara tersebut belum diputuskan kerajaan.

Setiausaha BN Bahagian Bagan, Tan Chuan Hong berkata, Guan Eng tidak sepatutnya mengulas berhubung pelaksanaan GST itu memandangkan maklumat terperinci mengenainya belum diumumkan.

Malah, beliau turut menempelak Guan Eng yang sepatutnya lebih mengetahui hal ehwal percukaian memandangkan mempunyai kelayakan dalam bidang perakaunan selain merupakan pemimpin tertinggi kerajaan negeri.

“Adalah tidak bertanggungjawab dan mengelirukan selepas Guan Eng mendakwa rakyat terpaksa menanggung beban sebanyak RM1,000 jika cadangan tersebut dilaksana.

“Apa asas untuknya membuat kesimpulan sedemikian? Komen Guan Eng itu bukan sahaja mencetuskan suasana panik tetapi membimbangkan rakyat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Guan Eng berkata, setiap warganegara Malaysia akan menanggung beban tambahan sebanyak RM1,000 setahun jika kerajaan melaksana GST sebanyak tujuh peratus.

Chuan Hong memberitahu, di negara maju, GST merupakan sebahagian daripada struktur cukai yang komprehensif dan berpatutan.

Menurutnya, selain membendung pedagang daripada mengelak membayar cukai pelaksanaannya juga mampu menjana platform persaingan seimbang dalam negara.

“Berdasarkan prinsip cukai, mereka yang berbelanja besar akan membayar lebih cukai.

“Keadaan sebegini sudah pasti tidak akan menjejaskan golongan berpendapatan rendah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment